Lelaki Indonesia sorok syabu dalam kotak rokok ditahan di Mukah

Facebook
WhatsApp
DADAH yang disorok dalam kotak rokok dirampas pihak polis Mukah.

MUKAH: Taktik seorang lelaki warga Indonesia menyembunyikan dadah disyaki methamphetamine atau syabu dalam kotak rokok terbongkar selepas ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah pekerja ladang kelapa sawit di sini, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias, suspek yang bekerja sebagai buruh ladang kelapa sawit itu direman selama empat hari sehingga 22 Ogos bagi melengkapkan siasatan.

“Suspek berusia 31 tahun itu ditahan kira-kira 2.00 petang semalam (17 Ogos) berdasarkan maklumat dan risikan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mukah.

“Hasil pemeriksaan menemukan dua paket plastik lutsinar dan empat keratan tiub straw lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis methamphetamine atau syabu yang disimpan dalam kotak rokok jenama Era milik suspek,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

POLIS Mukah tahan suspek lelaki Indonesia tanpa dokumen perjalanan sorok dadah dalam kotak rokok di Mukah.

Mengulas lanjut, dadah yang dirampas dianggarkan seberat 9.40 gram dengan nilai kira-kira RM500.

“Ujian air kencing terhadap suspek turut mendapati dia positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan serta siasatan lanjut,” jelasnya

Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dengan jumlah tertentu dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana menggunakan dadah secara salah.

HASIL pemeriksaan air kencing suspek didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Polis Daerah Mukah akan terus mempergiatkan usaha membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah dan dadah boleh menghubungi Hotline IPD Mukah di talian 084-871222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.