KUCHING: Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) diminta menyusun semula perancangan bagi memastikan bekalan air terus terjamin sekiranya cuaca panas dan kering berterusan, khususnya di kawasan luar bandar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, beliau menerima beberapa laporan berhubung isu bekalan air yang berkemungkinan menyebabkan penghantaran tidak dapat dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan.
“Saya menasihatkan JBALB supaya menyusun semula perancangan agar masalah bekalan air, sekiranya cuaca panas dan kering, dapat kita hadapi dengan strategi yang lebih baik. Kita amat prihatin terhadap isu bekalan air ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Cek Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-Agama Lain Fasa 1 2026 di Bangunan UNIFOR, di sini, hari ini.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) berkata, pihaknya turut menerima laporan daripada Sarawak Energy Berhad (SEB) bahawa paras air di empangan hidro masih agak rendah.
Katanya, kerajaan negeri terus berkoordinasi dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi menilai keadaan semasa, termasuk kemungkinan meneruskan operasi pembenihan awan.
“Kita bersyukur kerana hujan telah turun dan sekurang-kurangnya keadaan jerebu telah reda.
“Hari ini, kebanyakan kawasan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap baik. Namun, masalah bekalan air masih berlaku, khususnya di luar kawasan bandar,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, keadaan itu memerlukan perancangan awal dan penyelarasan berterusan antara agensi berkaitan bagi memastikan bekalan air kepada penduduk tidak terjejas sekiranya keadaan panas dan kering berlarutan.
Katanya, kerajaan negeri akan terus memantau keadaan semasa dan mengambil langkah sewajarnya berdasarkan perkembangan cuaca serta paras sumber air.
Oleh Adele Rissa





