KUCHING: Sebanyak RM34.87 juta bantuan dana rumah ibadat agama-agama lain diluluskan menerusi fasa pertama 2026 bagi membiayai 148 projek di seluruh Sarawak.
Menteri Bertanggungjawab bagi Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada RM90 juta yang diperuntukkan kerajaan Sarawak bagi membantu pembangunan rumah ibadat tahun ini.
“Bagi fasa pertama 2026, sebanyak RM34.87 juta telah diluluskan, membabitkan 148 projek.
“Baki RM55.12 juta pula akan disalurkan sepenuhnya menerusi fasa kedua tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Bantuan Dana Rumah Ibadat Agama-Agama Lain Fasa 1 2026 di Bangunan UNIFOR, di sini, hari ini.
Beliau berkata, berdasarkan rekod UNIFOR, jumlah keseluruhan peruntukan yang telah disalurkan bagi membantu rumah ibadat sehingga 2026 mencecah RM565 juta.

Katanya, peruntukan berterusan itu mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak untuk memastikan semua masyarakat mendapat manfaat daripada dasar kerajaan tanpa mengira agama dan kaum.
“Dasar kita adalah keterangkuman. Tiada siapa yang harus tercicir. Kita berkongsi dasar ini bersama Premier yang begitu prihatin dan pemurah,” ujarnya.
Uggah menjelaskan bahawa setiap projek yang diluluskan perlu dilaksanakan dengan penuh integriti, ketelusan dan akauntabiliti bagi memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar sampai kepada penerima serta digunakan untuk tujuan yang ditetapkan.
Sehubungan itu, katanya, UNIFOR bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) akan terus menjalankan pemantauan di lapangan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan seperti yang dirancang.
Beliau turut menyeru semua pihak supaya terus bekerjasama dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian beragama di Sarawak.
“Kita merupakan negeri contoh di Malaysia. Kekalkanlah keadaan ini,” katanya.
Oleh Adele Rissa





