KUCHING: Kejohanan Badminton Piala GST melabuhkan tirai dengan majlis penutupan yang berlangsung di Sentosa Sport Centre di sini, Ahad lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Dato Ir Lo Khere Chiang berkata, kejohanan berkenaan menyediakan platform kepada peminat badminton untuk beraksi, bertukar pengalaman dan mengeratkan hubungan menerusi sukan.
Menurutnya, penyertaan pemain, penganjur dan komuniti setempat mencerminkan minat yang semakin meningkat terhadap pembangunan sukan di peringkat akar umbi.
“Program seperti Piala GST penting dalam menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat, selain memupuk minat terhadap badminton, khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pemain yang mengambil bahagian serta menghargai usaha penganjur, sukarelawan, penaja dan penyokong yang menyumbang kepada kejayaan kejohanan itu.
Pada majlis berkenaan, anugerah turut disampaikan kepada pasukan dan pemain cemerlang sebagai penghargaan terhadap usaha, keazaman dan semangat kesukanan yang ditunjukkan sepanjang kejohanan.
Lo berkata, kesinambungan dan pengembangan Piala GST pada masa akan datang mampu menyediakan lebih banyak peluang kepada pemain badminton tempatan untuk meningkatkan kemahiran serta mengeratkan hubungan dalam komuniti badminton.
Kejohanan itu dianjurkan oleh GST Team.
Oleh Connie Chieng





