Pelajar Filipina maut dalam kejadian tembakan jarang berlaku di sekolah

Facebook
WhatsApp
Polis Filipina berkumpul di sebuah sekolah selepas kejadian tembakan di Zamboanga pada 18 Ogos 2026. Seorang pelajar ditembak mati di sebuah sekolah menengah di selatan Filipina pada 18 Ogos sebelum suspek yang didakwa sebagai penembak itu membunuh diri, menurut polis. Foto AFP

MANILA, Filipina: Seorang pelajar Tingkatan 4 ditembak mati di sebuah sekolah menengah di selatan Filipina pada Selasa sebelum suspek yang didakwa sebagai penembak itu membunuh diri, menurut polis.

Kejadian tembakan di sekolah itu merupakan yang kedua di negara berkenaan dalam tempoh dua bulan. Insiden berlaku di Universiti Ateneo de Zamboanga, sebuah institusi swasta Katolik di Mindanao barat.

Polis wilayah berkata seorang pelajar Tingkatan 3 membawa “pistol dan senapang ke dalam kawasan sekolah” sebelum melepaskan tembakan di sebuah bilik darjah, membunuh seorang individu sebelum menembak dirinya sendiri.

“Siasatan sedang dijalankan… Kami masih berusaha mengenal pasti motif,” kata jurucakap polis, Shella Chang, kepada AFP sambil menambah bahawa lokasi kejadian sedang diperiksa.

Jumlah individu yang cedera masih belum dapat dipastikan.

Dalam video yang tersebar menerusi media tempatan dan dipercayai disiarkan secara langsung di Facebook, laras senjata api dilihat bergerak menyusuri koridor sebelum diarahkan ke sebuah bilik darjah dan melepaskan tembakan, seolah-olah dalam permainan video penembak pandang pertama.

Pelajar yang memakai pakaian seragam sekolah kemudian dilihat menjerit dan bergegas keluar melalui pintu.

Akaun Facebook suspek yang didakwa itu kemudiannya dinyahaktifkan.

“Dalam video itu, kita dapat melihat dia terlebih dahulu menembak guru yang sedang duduk di meja,” kata Datuk Bandar Zamboanga City, Khymer Olaso, yang pada awalnya mengenal pasti penembak itu sebagai pelajar Tingkatan 1, kepada sebuah stesen radio tempatan.

“Nampaknya dia tersasar, kemudian bergerak ke bilik lain… Dia menembak seorang lagi pelajar di situ,” katanya.

Pihak sekolah secara berasingan mengesahkan dua kematian dalam kejadian berkenaan.

“Kami sudah berhubung dengan ibu bapa dan penjaga untuk mengambil anak masing-masing dan pihak universiti memastikan keselamatan mereka yang masih berada di kampus,” katanya dalam satu kenyataan.

Kejadian tembakan di sekolah jarang berlaku di Filipina, namun tiga pelajar remaja terbunuh manakala 20 lagi cedera dalam kejadian di bahagian tengah negara itu pada Jun lalu.

Universiti Ateneo de Zamboanga pada bulan lalu menjadi antara banyak sekolah di seluruh negara yang menjalankan latihan menghadapi serangan penembak aktif.

Pemilikan senjata api secara sah dikawal ketat di negara Asia Tenggara itu, namun pasaran gelap senjata api masih wujud dalam skala besar. – AFP

Gempa bumi sederhana di Laut Bali Indonesia

KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.2 dikesan berlaku di Laut Bali, Indonesia pada 2.10 pagi tadi.  Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi hantaran