SARIKEI: Pasukan BBP Sarikei berjaya memusnahkan sarang tebuan yang mengundang risiko keselamatan di Jalan Kwong Ming, semalam.
Ketua BBP Sarikei, Vincent Baling, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung khidmat khas untuk memusnahkan sarang serangga berbisa itu pada 8.36 malam.
“Setibanya pasukan bomba yang diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Redzuan Hussain, di lokasi, operasi dimulakan pada 8.45 malam.
“Komander operasi kemudian membuat penilaian awal sebelum mengarahkan anggota bomba memakai peralatan perlindungan diri (PPE) lengkap bagi menjalankan operasi memusnahkan sarang tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, anggota bomba menggunakan racun serangga untuk memusnahkan sarang tebuan itu bagi memastikan ancaman serangga berbisa dapat ditangani dengan selamat.
“Operasi berjaya dikawal pada 8.50 malam dan anggota bomba meneruskan pemeriksaan bagi memastikan sarang berkenaan dimusnahkan sepenuhnya.
“Operasi tamat sepenuhnya pada 9.27 malam selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat,” katanya.
Vincent turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya menemukan sarang tebuan atau serangga berbisa di kawasan kediaman kerana tindakan tanpa peralatan dan perlindungan yang sesuai boleh mendatangkan risiko keselamatan.
Oleh Earl Anek




