LONDON, United Kingdom: Sembilan kelab Liga Perdana Inggeris akan mempunyai pengurus baharu apabila musim bermula Jumaat ini, namun tidak ramai yang bakal berdepan tekanan sehebat Enzo Maresca, Andoni Iraola dan Xabi Alonso.
Sejak musim 1946/47, iaitu musim pertama selepas Perang Dunia Kedua, tidak pernah berlaku perubahan pengurus sebanyak ini sebelum bermulanya musim divisyen teratas England.
Perubahan besar itu menyaksikan pengendali Manchester United, Michael Carrick, yang baharu menyertai Old Trafford pada Januari lalu, kini menjadi pengurus ke-10 paling lama berkhidmat dalam liga.

Maresca, Iraola dan Alonso akan berdepan perhatian paling hebat ketika mereka memikul tugas mencabar di Manchester City, Liverpool dan Chelsea.
AFP Sport menyoroti tiga pelantikan paling berprofil tinggi:
Maresca ‘kembali ke pangkuan’ Man City
Maresca berkata beliau “kembali ke pangkuan” selepas menyertai semula Manchester City, namun sudah berdepan tekanan selepas permulaan kurang memberangsangkan dalam tugas mencabar menggantikan Pep Guardiola.
Pengendali Itali berusia 46 tahun itu kembali ke kelab berkenaan untuk kali ketiga selepas sebelum ini memegang jawatan ketua jurulatih skuad pembangunan elit pada musim 2020/21 dan penolong jurulatih pada musim 2022/23, ketika City menjuarai trebel.
Selepas itu, beliau membimbing Leicester City kembali ke Liga Perdana sebelum berpindah ke Chelsea, yang menyaksikan beliau memenangi Liga Persidangan UEFA dan Piala Dunia Kelab dalam tempoh 18 bulan yang penuh pergolakan.
City berkata mereka sudah lama menganggap Maresca sebagai calon untuk menggantikan Guardiola, yang memenangi 20 trofi sepanjang sedekad gemilangnya di Manchester.
Maresca menyifatkan tugas mengisi tempat bekas pengurusnya itu sebagai satu “keistimewaan” dan “cabaran”.
Namun, berdasarkan kekalahan 0-3 City kepada juara Liga Perdana, Arsenal, dalam Perisai Komuniti pada Ahad, Maresca berdepan tugas besar untuk membawa kelab itu menjuarai liga buat kali pertama sejak 2024.
Iraola dambakan ‘magis’ Liverpool
Iraola, 44, memberitahu penyokong Liverpool bahawa beliau mahu “mendapat hak untuk menjadi salah seorang daripada anda” selepas menggantikan Arne Slot di Anfield.
Slot dari Belanda meninggalkan kelab itu hanya 12 bulan selepas membimbing The Reds merangkul kejuaraan liga England ke-20 yang menyamai rekod, susulan kemerosotan prestasi yang membimbangkan musim lalu.

Iraola, yang dilantik berdasarkan kepakaran taktikalnya, dijangka mengembalikan Liverpool kepada corak permainan agresif “heavy metal” yang diterapkan bekas pengurus kesayangan kelab itu, Jurgen Klopp, yang merupakan pendahulu Slot.
Pengendali dari Sepanyol itu menarik perhatian Liverpool selepas kejayaannya bersama Bournemouth, apabila beliau memperbaiki kedudukan kelab itu dalam liga pada setiap tiga musim kendaliannya.
Kedudukan keenam musim lalu membolehkan kelab di pantai selatan England itu layak beraksi di Eropah buat kali pertama dalam sejarahnya.
Iraola bercakap mengenai “magis” tugas mengendalikan Liverpool pada sidang media pertamanya, namun beliau sedar bahawa tugas itu merupakan peningkatan besar dalam kariernya dan tekanan yang dihadapi jauh berbeza daripada apa yang pernah dilaluinya.
Alonso mahu buktikan kemampuan
Alonso sebelum ini sering dikaitkan dengan Liverpool, kelab yang pernah dibantunya menjuarai Liga Juara-Juara Eropah sebagai pemain. Sebaliknya, Chelsea menjadi destinasi seterusnya dalam karier pengurusannya.
Kejayaan Alonso sebagai pengurus terserlah di Jerman bersama Bayer Leverkusen apabila beliau membimbing kelab itu mencipta sejarah dengan meraih kejuaraan berganda domestik tanpa kalah pada musim 2023/24.
Kejayaan itu membawanya ke jawatan pengurus kelab lamanya, Real Madrid, namun tempohnya di Santiago Bernabéu bertukar hambar dengan cepat sebelum beliau meninggalkan kelab itu pada Januari, kurang daripada lapan bulan selepas dilantik.
Alonso mengakui penamatan awal tugasnya di Madrid meninggalkan “parut”, namun berkata luka itu kini sudah sembuh ketika beliau menantikan babak baharu.
Tugas pengendali berusia 44 tahun itu adalah untuk menstabilkan Chelsea selepas musim penuh kekacauan yang bermula di bawah kendalian Maresca dan turut menyaksikan tempoh singkat yang tidak membuahkan hasil bersama Liam Rosenior.
The Blues hanya mampu menduduki tempat ke-10 dalam Liga Perdana dan sejak itu kembali aktif dalam pasaran perpindahan, termasuk menjadikan Morgan Rogers sebagai pemain Britain termahal dalam sejarah.
Ketiadaan saingan bola sepak Eropah mungkin memberi Alonso masa berharga untuk membentuk pasukan mengikut acuan permainannya sendiri.
Namun, jumlah perlawanan yang lebih sedikit juga menyukarkan usaha untuk memastikan skuad yang besar kekal berpuas hati ketika beliau berusaha memulihkan kestabilan kepada kelab yang amat memerlukan tempoh ketenangan. – AFP





