Eksklusif: RM1 secawan, cheesekut Dessert Petite jadi manisan mampu milik

Facebook
WhatsApp
MAMPU MILIK... Harga cheesekut RM1 Dessert Petite jadi pilihan orang ramai.

PETRA JAYA: Hanya RM1. Nilainya mungkin kecil, namun bagi Aisya Nabilah, 24, harga itu membuka ruang untuk lebih ramai menikmati sebekas kecil cheesekut tanpa perlu memikirkan soal bajet.

Bermula daripada minat menghasilkan pencuci mulut, anak kelahiran Kuching itu mencetuskan idea untuk menghasilkan cheesekut dalam saiz kecil yang bukan sahaja mudah dinikmati, malah mampu dibeli oleh sesiapa sahaja.

Daripada idea ringkas itu, lahirlah Dessert Petite, sebuah perniagaan kecil-kecilan yang kini mendapat perhatian pelanggan dengan menawarkan cheesekut bersaiz dua auns (2oz) pada harga hanya RM1 secawan.

“Sebenarnya idea itu tercetus sebab saya memang suka buat dessert dan dalam masa yang sama saya nak cuba buat sesuatu yang orang ramai boleh beli dengan harga yang sangat berpatutan.

“Jadi saya terfikir, kenapa tidak buat dessert dalam kuantiti kecil dan jual RM1? Dari situlah bermulanya Dessert Petite,” katanya kepada Shikin Mahmud, Utusan Sarawak.

Bagi Aisya, RM1 bukan sekadar angka pada tanda harga.

Sebaliknya, harga itu menjadi cara untuk memberi peluang kepada lebih ramai mencuba hasil tangannya, termasuk pelajar atau mereka yang sekadar mahu menikmati sesuatu yang manis tanpa perlu mengeluarkan banyak wang.

“RM1 nampak kecil, tetapi apabila orang beli banyak, ia boleh jadi satu pengalaman yang menyeronokkan.

“Lagi-lagi kalau pelajar atau orang yang nak cuba dahulu,” katanya.

Walaupun kecil saiznya, pilihan perisa yang ditawarkan tidak kurang menarik.

AISYA… Dari tangan yang tekun, tersusun manisan; dari sekecil cawan, tersulam rezeki. Aisya Nabilah, 24, mengusahakan Dessert Petite yang menawarkan cheesekut pada harga RM1 secawan.

Katanya, cheesekut bersaiz dua auns (2oz) itu hadir dalam beberapa perisa, termasuk Milo, Matcha, Taro dan Red Velvet.

“Setakat ini, perisa Milo dan Red Velvet antara yang paling mendapat sambutan, tetapi ia bergantung kepada selera pelanggan,” katanya.

Namun, di sebalik setiap cawan yang tersusun rapi, ada tangan yang tidak pernah berhenti bekerja.

Lebih mengujakan, permintaan terhadap cheesekut berkenaan pernah melonjak sehingga Aisya menghasilkan lebih 400 cawan dalam tempoh seminggu dan hampir 500 cawan apabila tempahan meningkat.

“Jumlah itu bergantung kepada hari dan tempahan. Kalau ada tempahan terbuka atau stok sedia, memang boleh cecah ratusan cawan,” katanya.

Sambutan yang diterima juga hadir dalam bentuk tempahan berulang, membuktikan pelanggan bukan sekadar tertarik dengan harga RM1, tetapi turut kembali kerana menyukai rasanya.

“Alhamdulillah, sambutan memang sangat baik dan saya sendiri agak terkejut sebab pada awalnya saya tidak sangka orang akan sokong sampai macam ini.

“Ramai yang buat tempahan berulang dan ada juga pelanggan yang mula-mula beli sebab tertarik dengan harga RM1, kemudian beli lagi sebab suka dengan rasanya,” katanya.

Namun, harga semurah itu tidak bermakna perjalanannya mudah.

Dengan margin keuntungan yang kecil, Aisya perlu memastikan kos bahan mentah, pembungkusan dan pengeluaran sentiasa terkawal, terutama ketika harga bahan berubah-ubah.

CHEESEKUT… Manisnya rasa, kecil harganya. Cheesekut RM1 secawan menjadi tarikan Dessert Petite yang mencuri selera pelanggan.

“Saya cuba kekalkan harga RM1 selagi kos masih mengizinkan sebab antara tujuan utama saya memang nak kekalkan dessert ini mampu milik,” katanya.

Menariknya, cheesekut RM1 itu bukan hanya menjadi pilihan untuk kudapan peribadi, malah turut ditempah dalam kuantiti banyak untuk majlis dan acara, termasuk majlis perkahwinan.

Ada pelanggan yang pada awalnya hanya mahu membeli beberapa cawan, namun akhirnya menambah kuantiti apabila mengetahui harganya yang mesra pelanggan.

“Ada pelanggan yang beli puluhan cawan sekali tempahan, terutama untuk acara, majlis atau nak berkongsi dengan kawan-kawan.

“Ada yang pada awalnya nak beli sikit, tetapi apabila nampak RM1, terus tambah kuantiti,” katanya.

Bagi Aisya, cabaran terbesar bukan mendapatkan pelanggan, tetapi memastikan dirinya mampu memenuhi permintaan tanpa menjejaskan kualiti.

Katanya, selain kos bahan mentah yang sentiasa berubah, masa dan tenaga juga menjadi pertimbangan kerana kebanyakan proses pengeluaran dilakukan sendiri.

“Saya buat sendiri, jadi apabila tempahan banyak memang agak mencabar dari segi pengeluaran. Tetapi saya cuba susun tempahan supaya masih boleh kawal semuanya,” katanya.

Walaupun masih kecil, Aisya melihat Dessert Petite sebagai langkah pertama untuk membina sesuatu yang lahir daripada minatnya sendiri.

Buat masa ini, Dessert Petite masih beroperasi sebagai perniagaan kecil-kecilan dan belum menjadi sumber pendapatan utama Aisya.

KEPELBAGAIAN perisa cheesekut yang ditawarkan Dessert Petite menarik perhatian pelanggan yang gemarkan pencuci mulut.

Namun, di situlah dia menemukan ruang untuk belajar, mencuba dan mengenali dunia perniagaan sedikit demi sedikit.

“Buat masa sekarang ia masih merupakan perniagaan yang saya jalankan secara kecil-kecilan dan belum menjadi sumber pendapatan utama.

“Saya anggap ini sebagai satu langkah untuk saya belajar tentang perniagaan dan bina sesuatu yang saya sendiri minat,” katanya.

Bercakap mengenai impian, Aisya tidak mahu terlalu tergesa-gesa.

Baginya, pertumbuhan yang perlahan tetapi konsisten lebih bermakna selagi Dessert Petite terus mendapat tempat dalam hati pelanggan.

“Saya harap Dessert Petite boleh berkembang sedikit demi sedikit dan terus mendapat sokongan daripada pelanggan.

“Kalau ada rezeki, saya nak tambah lebih banyak pilihan dessert dan mungkin satu hari nanti mempunyai tempat atau ruang sendiri untuk perniagaan ini,” katanya.

Daripada sebuah idea kecil, lahirlah sebuah usaha. Aisya kini membuktikan bahawa sesuatu yang bernilai tidak semestinya perlu mahal.

Kadangkala, dengan hanya RM1, sekecil-kecil cawan cheesekut mampu menjadi permulaan kepada sebuah impian yang lebih besar.

Bagi Aisya, buat masa ini apa yang lebih penting adalah untuk terus konsisten menghasilkan produk berkualiti dan memastikan setiap pelanggan berpuas hati.

“Saya cuma nak terus konsisten dan pastikan pelanggan puas hati dengan apa yang saya hasilkan,” katanya.

Oleh Shikin Mahmud