SERDANG: Penantian 40 tahun Sarawak untuk meraih pingat emas acara 4×100 meter wanita akhirnya berakhir apabila kuartet negeri itu muncul juara pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026, petang tadi.
Gandingan Ormilla Octavia Codday Nyadau, Maritza Ferrer Neil Armstrong, Alvinia Aivie Jackly dan Siti Nur Aalia Mohamad Hamka mencatat masa terpantas 46.890 saat dalam perlumbaan akhir di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), sekali gus menghadiahkan pingat emas kepada kontinjen Sarawak.
Kejayaan itu hadir menerusi aksi dramatik pada 100 meter terakhir apabila Ormilla melakukan pecutan bertenaga untuk memintas pelari Terengganu pada saat-saat akhir sebelum melintasi garisan penamat sebagai juara.
Sarawak mencatat kelebihan tipis berbanding Terengganu yang terpaksa berpuas hati dengan pingat perak menerusi catatan 46.940 saat, manakala Johor meraih gangsa dengan masa 47.240 saat.


KUARTET emas Sarawak bergambar bersama selepas mencipta kejayaan dalam acara 4×100 meter wanita pada SUKMA XXII Selangor 2026. Foto UKAS
Ormilla turut menceriakan kem olahraga Sarawak apabila meraih satu lagi pingat gangsa dalam acara 400 meter wanita dengan catatan 57.030 saat.
Pingat emas acara itu dimenangi wakil Johor, Nor Malisya, dengan catatan 55.930 saat, manakala pingat perak menjadi milik atlet Terengganu, Nor Aliya Najihah, yang merekodkan masa 56.760 saat.
Satu lagi pingat gangsa disumbangkan Benedict Tivez Julie dalam acara 1,500 meter lelaki selepas mencatat masa 5:04.91.
Pelari Pulau Pinang, Kivenesan Shankar, meraih pingat emas dengan catatan 4:58.71, manakala pingat perak dimenangi Chong Kah Bao dari Johor yang merekodkan masa 5:04.38.
Oleh Shahrul Qaizat





