Mahkamah tetapkan 22 Februari depan permohonan keluarga Daim cabar penyitaan akaun bank SPRM

Facebook
WhatsApp
Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 22 Februari 2027 untuk menyampaikan keputusan berhubung permohonan semakan kehakiman difailkan keluarga Allahyarham Tun Daim Zainuddin bagi membatalkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) membekukan akaun bank mereka.

Hakim Norliza Othman menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Abraham Au yang mewakili keluarga Daim, manakala Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Nurhafizza Azizan hadir bagi pihak SPRM dan lima responden lain.

Abraham berhujah bahawa sebelum notis pertama dikeluarkan pada 2023 tamat tempoh, pihak berkuasa mengeluarkan satu lagi notis pada 2024 di bawah undang-undang berbeza, sekali gus mengetepikan tempoh masa mandatori ditetapkan undang-undang dan memanjangkan tempoh pembekuan sehingga 30 bulan.

“Perintah pembekuan atau penyitaan lazimnya hanya sah untuk tempoh tertentu sebagaimana diperuntukkan di bawah undang-undang. Mengikut Seksyen 52A AMLA, tempoh maksimum ialah 12 bulan.

“Namun, sebelum perintah penyitaan di bawah Seksyen 50 tamat tempoh, responden menggunakan Seksyen 37 Akta SPRM untuk mengenakan penyitaan baharu selama 18 bulan lagi, sekali gus melanjutkan penyitaan sedia ada dan bukannya melepaskan akaun bank berkenaan kepada pemilik harta,” katanya. 

Sementara itu, Nurhafizza berhujah bahawa SPRM mempunyai budi bicara untuk menentukan kaedah dalam menjalankan siasatannya.

Beliau berkata siasatan dijalankan secara serentak itu bukan dimulakan secara tiba-tiba, sambil menyatakan bahawa afidavit bersumpah yang difailkan dalam kes berkenaan menunjukkan turutan siasatan yang telah dijalankan.

Menjawab hujahan Abraham bahawa pihak berkuasa mengambil pendekatan “bekukan dahulu, siasat kemudian”, Nurhafizza berkata siasatan telah bermula pada Mac 2023, manakala notis penyitaan hanya dikeluarkan selepas itu, sekali gus menunjukkan bahawa siasatan telah pun dijalankan terlebih dahulu.

Nurhafizza turut berkata daripada 73 akaun bank yang terlibat, 54 telah dilepaskan manakala 19 lagi masih dibekukan sementara menunggu prosiding pelucuthakan.

Pada 5 November 2025, Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan keluarga Allahyarham Daim untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar tindakan SPRM menyita dan membekukan akaun bank mereka. 

Dalam permohonan difailkan pada 6 Jun 2024, Daim dan keluarganya memohon perintah untuk mengetepikan tindakan SPRM menyita dan membekukan aset alih mereka mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Selain Daim, pemohon lain ialah isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid serta empat anak mereka, Asnida, Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin.

Turut dinamakan sebagai pemohon ialah 18 syarikat iaitu Aad Equity Sdn Bhd; Yayasan Haji Zainuddin; Ilham Baru Sdn Bhd; Anchor Point Sdn Bhd; Kangkung Catering Sdn Bhd; Adrihaniz Sdn Bhd; Syarikat Maluri Sdn Bhd; Amiraz Sdn Bhd; Ridana Sdn Bhd; Daan Sdn Bhd; Maya Seni Holdings Sdn Bhd; Magical Zone Sdn Bhd; Permatang Maju (M) Sdn Bhd; Brainstorms Sdn Bhd; Arida Farms Sdn Bhd; Gajah3 Resource Centre Sdn Bhd; Ilham Tower Sdn Bhd, dan Selidik Jaya Sdn Bhd.

Kesemua pemohon menamakan Penolong Penguasa Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta SPRM Haris Fadhila Sukaime; Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin; Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu Tan Sri Azam Baki; SPRM; Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan Kerajaan Malaysia masing-masing sebagai responden pertama hingga keenam.

Mereka turut memohon deklarasi bahawa perintah pembekuan yang dikenakan SPRM terhadap akaun bank pemohon serta semua tindakan dan keputusan yang diambil oleh responden pertama hingga keempat adalah tidak sah dan terbatal.

Dalam afidavit sokongannya, Na’imah mendakwa bahawa memandangkan tiada pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram dikemukakan setakat ini, perintah penyitaan di bawah Seksyen 44(5) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) akan luput selepas 90 hari dari tarikh perintah itu dikeluarkan. – Bernama