KISHANGARH, INDIA: Hamparan luas sisa marmar putih di India kini menarik perhatian pelancong, pembikin filem dan peminat media sosial ke sebuah kawasan yang lebih menyerupai lembah dilitupi salji daripada tapak pelupusan sisa.
Tapak berkenaan terletak di Kishangarh, sebuah pusat pemprosesan marmar utama di negeri Rajasthan, barat laut India. Kawasan itu diliputi sisa lumpur dan batu yang terhasil daripada proses pemotongan serta penggilapan blok marmar dan granit.
Dengan keluasan 33 hektar, tapak itu menerima lebih 5,500 tan sisa lumpur setiap hari daripada lebih 1,200 unit pemprosesan, sekali gus menjadikannya antara tapak pelupusan sisa seumpama itu yang terbesar di Asia.

Namun, kawasan industri yang dipenuhi sisa itu kini berubah menjadi tarikan pelancongan yang tidak dijangka.
Pasangan bergambar di celah timbunan putih seperti kapur untuk sesi fotografi praperkahwinan, manakala pembikin filem dan kru video muzik menggunakan kawasan tersebut sebagai latar belakang.
Pengunjung turut menunggang kuda merentasi kawasan beralun itu, tertarik dengan pemandangannya yang luar biasa.
Media sosial turut menyumbang kepada peningkatan populariti kawasan berkenaan, dengan pengunjung membandingkan permukaannya yang berkilauan dengan pemandangan pergunungan Alps yang dilitupi salji.

Selepas hujan, air bertakung di kawasan lekuk antara timbunan sisa, membentuk kolam berwarna biru terang yang menguatkan lagi gambaran seolah-olah kawasan itu merupakan sebuah lembah pergunungan.
Pihak berkuasa telah berulang kali memberi amaran mengenai kesan pelupusan sisa marmar terhadap alam sekitar di kawasan berkenaan, termasuk risiko pencemaran udara akibat debu serta pencemaran air bawah tanah.
Kajian mendapati air di kawasan sekitar mempunyai tahap kemasinan dan kekerasan yang tinggi, selain mengandungi beberapa jenis logam berat.

Tribunal alam sekitar tertinggi India pada Januari lalu mengarahkan beberapa langkah pembetulan dilaksanakan, termasuk garis panduan bagi menggalakkan penggunaan semula sisa lumpur berbanding pembuangan secara tidak terkawal.
“Tiada sistem lapisan pelindung yang direka bentuk khas, tiada telaga pengendapan, tiada mekanisme kawalan debu, tiada pemantauan udara atau air bawah tanah dan tiada kawasan jalur hijau perlindungan,” kata tribunal itu dalam perintahnya.
Namun, bahaya berkenaan masih belum menghalang orang ramai daripada mengunjungi kawasan tersebut untuk menikmati pemandangan yang menakjubkan dan seolah-olah berada di dunia lain. – AFP





