Hayden Panettiere meninggal dunia pada usia 36 tahun

Facebook
WhatsApp
PELAKON Hayden Panettiere, yang menempa nama menerusi siri televisyen “Heroes” dan “Nashville”, meninggal dunia pada usia 36 tahun. Foto Agensi

WASHINGTON, Amerika Syarikat: Hayden Panettiere, pelakon yang dikenali menerusi peranannya dalam siri televisyen popular “Heroes” dan “Nashville”, meninggal dunia pada usia 36 tahun, menurut laporan media.

Bapanya mengesahkan berita kematian pelakon itu dalam satu kenyataan kepada ABC News.

“Dengan penuh kesedihan, kami berkongsi berita mengenai pemergian tragis Hayden yang amat kami sayangi. Beliau seorang insan yang luar biasa dan penuh semangat, selain membawa kasih sayang serta kegembiraan yang tidak terhingga kepada semua yang mengenalinya serta jutaan penonton yang menyaksikan lakonannya di skrin,” katanya.

Beliau turut meminta agar keluarganya diberikan privasi ketika mereka “berdepan dengan kehilangan yang tidak dapat dibayangkan ini”.

Butiran mengenai kematiannya belum didedahkan, namun portal berita TMZ melaporkan terdapat “siasatan yang sedang dijalankan” berhubung punca kematiannya.

Dilahirkan pada 1989, Panettiere mula menempa nama sebagai pelakon kanak-kanak sebelum membintangi pelbagai filem dan siri televisyen.

Antara filem dan siri televisyen yang pernah dibintanginya ialah “Remember The Titans”, “Ice Princess”, “Scream 4” dan “Scream VI”.

Beliau turut menulis memoir bertajuk “This Is Me: A Reckoning” yang diterbitkan pada Mei lalu.

Dalam buku itu, beliau menceritakan tekanan yang dihadapinya sebagai pelakon kanak-kanak, selain pengalaman berdepan masalah ketagihan dan proses pemulihan.

Beliau juga pernah mendedahkan mengenai hubungan yang renggang dengan ibunya, yang menguruskan kerjayanya ketika beliau masih kanak-kanak. Ibunya kemudiannya turut mengkritik kandungan buku berkenaan. – AFP