Keikhlasan, kejujuran bentuk peribadi Toh Puan Fauziah

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Fatimah Abdullah (tengah) melancarkan buku Mawar Astana Mekar di Jiwa karya Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi pada majlis pelancaran buku khas berkenaan di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri, Petra Jaya, hari ini. Turut hadir Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

PETRA JAYA: Keikhlasan dan kejujuran menjadi antara nilai utama yang membentuk keperibadian serta legasi Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi sepanjang perjalanan hidupnya.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, nilai berkenaan jelas terpancar dalam peranan Toh Puan Fauziah sebagai anak, wanita bekerjaya, ibu, isteri dan kemudiannya sebagai isteri Yang di-Pertua Negeri.

Menurutnya, kedudukan dan gelaran bukan ukuran utama kewibawaan seseorang, sebaliknya keupayaan memikul amanah dengan penuh keikhlasan serta mengekalkan prinsip dan kesederhanaan.

“Bagi saya, inilah yang menjadikan seseorang itu benar-benar berwibawa. Ia tidak datang hanya daripada kedudukan, tetapi juga daripada keupayaan mengimbangkan antara keupayaan untuk memikul amanah dan tanggungjawab yang bertambah dengan kesediaan untuk mengekalkan prinsip dan falsafah hidup peribadi yang disandarkan kepada keikhlasan dan kejujuran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran buku Mawar Astana Mekar di Jiwa karya Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Dewan Santapan, Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Fatimah berkata, buku berkenaan bukan sekadar himpunan catatan dan kenangan, sebaliknya menghimpunkan nilai, pengalaman, keteladanan dan sumbangan seorang tokoh wanita yang melalui perjalanan kehidupan penuh warna, bakti dan makna.

Katanya, karya itu turut membawa pembaca mengenali Toh Puan Fauziah sebagai seorang insan di sebalik gelaran, termasuk sebagai anak, ibu, wanita bekerjaya, isteri dan tokoh masyarakat.

“Melaluinya kita dibawa bersama untuk mengenali seorang anak, seorang ibu, seorang wanita bekerjaya, seorang isteri, seorang Toh Puan Fauziah dan pada penghujungnya, kita mengenali seorang wanita yang memilih untuk menjalani serta menyantuni setiap peranan tersebut dengan hati dan jiwa yang penuh keikhlasan dan kejujuran,” katanya.

Menurut Fatimah, perjalanan Toh Puan Fauziah dalam membina hubungan dengan anak-anak tiri turut memperlihatkan nilai keikhlasan, kesabaran dan kasih sayang tanpa memaksa diri untuk mengambil tempat sesiapa.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan Toh Puan Fauziah terhadap pendidikan awal kanak-kanak, termasuk perhatian kepada kanak-kanak pintar dan kanak-kanak berkeperluan khas.

“Ini menunjukkan bahawa bagi Toh Puan Fauziah, setiap anak mempunyai nilai dan potensi tersendiri. Setiap anak memerlukan peluang untuk berkembang mengikut bakat, minat dan keupayaan masing-masing,” katanya.

Fatimah berkata, penglibatan Toh Puan Fauziah dalam usaha memperkasa wanita dan menyokong kerja kebajikan juga memperlihatkan bahawa sumbangan kepada masyarakat bukan diukur berdasarkan jumlah program yang dihadiri, tetapi berdasarkan kehidupan yang berjaya disentuh.

Beliau berkata, nilai kesederhanaan, disiplin diri, ketabahan, kesetiaan, keikhlasan dan kejujuran menjadi asas yang merentasi pelbagai fasa kehidupan Toh Puan Fauziah.

“Keindahan sebenar bukan sesuatu yang kita tampilkan, sebaliknya sesuatu yang kita pancarkan melalui cara kita melayan orang, menghadapi kesusahan, menjaga keluarga dan menggunakan kedudukan untuk membantu orang lain,” katanya.

Fatimah turut menyifatkan buku Mawar Astana Mekar di Jiwa sebagai sebuah karya yang mampu meninggalkan nilai insani untuk dicontohi generasi akan datang

Katanya, legasi seseorang bukan semata-mata terletak pada gelaran atau jawatan yang pernah disandang, tetapi pada kesan yang ditinggalkan dalam kehidupan orang lain.

“Kedudukan boleh memberikan seseorang pengaruh, tetapi hanya keikhlasan yang mampu memberikan seseorang tempat di hati,” katanya.

Fatimah kemudian merasmikan buku Mawar Astana Mekar di Jiwa.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Oleh Shikin Mahmud