Pernah kecewa pada Sukma 2024, kini Sofyan-Syafiq cipta sejarah bersama

Facebook
WhatsApp
SOFYAN Shah Zainal dan Mohd Syafiq Abdullah membuktikan bahawa anak Sarawak mampu bersaing di pentas kebangsaan apabila meraih pingat gangsa dalam acara Pencak Silat Ganda Putera pada Sukma XXII Selangor, sekali gus menyemarakkan tekad untuk memburu emas pada edisi akan datang.

BANGI: Bagi Sofyan Shah Zainal dan Mohd Syafiq Abdullah, pingat gangsa yang diraih dalam acara Pencak Silat Ganda Putera (Beregu) pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII bukan sekadar pencapaian pertama Sarawak dalam kategori itu, malah menjadi hasil persahabatan, keserasian dan usaha yang dibina bersama sejak sekian lama.

Kedua-duanya bukan sahaja sebaya, masing-masing berusia 19 tahun, malah berasal dari kampung yang sama di Kampung Semenggok, Batu 12, Kuching, dan menimba ilmu dalam perguruan yang sama, iaitu Perguruan Seni Silat Benteng Betawi yang diterajui Abang Kamarulazman Abang Rodian.

Hubungan rapat sebagai rakan sekampung, sahabat dan teman seperguruan itu menjadi antara kekuatan utama mereka apabila digandingkan dalam acara Ganda Putera.

Bagi Sofyan, kepercayaan antara mereka membolehkan setiap pergerakan dipersembahkan dengan lebih yakin, selain membantu mereka memahami kekuatan dan kelemahan masing-masing ketika berada di gelanggang.

“Kepercayaan antara satu sama lain dengan Syafiq adalah kunci. Kami sudah lama bertanding bersama dalam kategori Ganda Putera, jadi kami sudah memahami antara satu sama lain,” katanya kepada Utusan Sarawak selepas tamat kejohanan.

Syafiq pula berkata, keserasian yang dibina sejak sekian lama amat penting kerana persembahan Ganda Putera memerlukan kedua-dua atlet bergerak sebagai satu pasukan.

Katanya, walaupun mereka ada kalanya berbeza pendapat ketika menjalani latihan, perkara itu tidak menjejaskan hubungan mereka, sebaliknya membantu mencari pendekatan terbaik untuk memperkemas persembahan.

“Walaupun ada perbezaan pendapat, keserasian sangat penting kerana akhirnya kami perlu memberikan persembahan terbaik.

Katanya, perkara yang dipelajari sepanjang latihan perlu diterjemahkan sepenuhnya dalam tempoh tiga minit persembahan supaya segala usaha dan tunjuk ajar guru tidak dipersiakan.

Keserasian itu turut dibentuk menerusi latihan intensif serta disiplin yang diterapkan dalam Perguruan Seni Silat Benteng Betawi.

Sofyan berkongsi pengalaman bahawa disiplin menjadi antara perkara utama yang ditekankan dalam perguruan berkenaan, termasuk memastikan setiap pelajar hadir lebih awal daripada jurulatih sebelum sesi latihan bermula.

Kegagalan mematuhi disiplin tersebut turut dikenakan tindakan tertentu, sekali gus mendidik mereka supaya lebih bertanggungjawab dan menghargai masa.

Menurut Sofyan, latihan konsisten dan disiplin yang diterapkan membantu mereka bukan sahaja dari segi teknik persembahan, malah membina ketahanan mental untuk berdepan tekanan pertandingan.

Namun, perjalanan mereka ke podium bukan mudah.

Dalam saingan separuh akhir menentang tuan rumah Selangor, pasangan Sarawak itu berdepan situasi tegang apabila berlaku bantahan pihak lawan berhubung dakwaan senjata terjatuh ketika persembahan bersenjata.

Menurut Sofyan, pihak teknikal mengesahkan perkara berkenaan, manakala Sarawak turut mengemukakan bukti bahawa kejadian tersebut tidak berlaku.

Bagaimanapun, beliau memilih untuk menghormati keputusan juri teknikal dan menerima keputusan itu dengan hati terbuka, sambil menjadikannya pengalaman untuk mereka lebih berwaspada pada kejohanan akan datang.

Lebih mencabar, Sofyan turut berdepan kecederaan ringan pada kaki ketika menentang Kedah pada awal saingan sehingga pernah berada pada tahap hilang keyakinan dan terfikir untuk mengalah.

Namun, beliau memilih untuk mengetepikan kesakitan, mengosongkan fikiran dan memberikan tumpuan sepenuhnya untuk menghabiskan persembahan selama tiga minit.

“Saya pernah rasa mahu mengalah dan mental down ketika bertemu Kedah kerana kaki mengalami kecederaan ringan.

Bagi Syafiq, sokongan antara satu sama lain juga penting ketika salah seorang berdepan tekanan atau kehilangan keyakinan.

Katanya, mereka tidak hanya bergantung kepada latihan dan teknik, sebaliknya saling memberikan semangat ketika berada dalam kem atau selepas melalui situasi yang mengecewakan.

“Kawan-kawan dalam kem banyak menyokong kami apabila kami down, tumbang atau kecewa. Mereka memberi nasihat supaya kami bangkit.

“Keluarga pula banyak mendoakan kami. Sokongan daripada keluarga dan kawan-kawan di luar juga banyak membantu kami,” katanya.

Sokongan berkenaan menjadi lebih bermakna selepas mereka melalui pengalaman pahit pada Sukma 2024 apabila pulang tanpa membawa sebarang pingat.

Kali ini, usaha mereka membuahkan hasil apabila berjaya menamatkan saingan di podium, sekali gus mencatat sejarah baharu buat Sarawak dalam acara Ganda Putera.

Sofyan mengakui terdapat sedikit rasa kecewa kerana sasaran asal mereka adalah pingat emas, namun tetap bersyukur dengan rezeki yang diterima.

“Saya memang mahu cuba ambil emas kerana untuk Ganda Putera Sarawak, belum ada lagi yang mendapat emas. Saya mahu cuba pecahkan rekod dan cipta sejarah bersama Syafiq.

“Tetapi rezeki kami gangsa. Saya tetap bersyukur kerana sebelum ini gangsa pun belum pernah Sarawak dapat dalam kategori Ganda Putera,” katanya.

Bagi Syafiq pula, kejayaan itu membuktikan segala latihan yang dilakukan bersama guru akhirnya dapat diterjemahkan di pentas pertandingan.

Katanya, mereka berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan kerana sudah memberikan yang terbaik berdasarkan persiapan yang dilakukan.

“Kami alhamdulillah. Tidak ada rasa tidak puas hati. Kami sudah buat yang terbaik dan sudah persembahkan yang terbaik.

“Bila kami tengok semula video persembahan, alhamdulillah semuanya baik,” katanya.

Kejayaan itu juga memberi keyakinan baharu kepada kedua-duanya bahawa Ganda Putera Sarawak mampu bersaing untuk merebut tempat di podium, sekali gus membuka sasaran lebih besar pada masa akan datang.

Pada usia 19 tahun, Sofyan dan Syafiq masih mempunyai peluang untuk kembali beraksi pada Sukma 2028 yang bakal berlangsung di Kelantan, sebelum mencapai had umur 21 tahun yang ditetapkan bagi atlet Sukma.

Jika diberi kepercayaan sekali lagi, kedua-duanya mahu menjadikan Sukma 2028 sebagai pentas terakhir untuk memburu emas.

“Sukma 2028 nanti mungkin menjadi Sukma terakhir saya dan Syafiq. Kalau dipilih lagi, kami usaha mendapatkan emas,” kata Sofyan.

Sasaran itu turut disokong dengan tekad untuk memperkemas teknik, meningkatkan ketahanan mental serta mengukuhkan lagi keserasian antara mereka sebagai pasangan Ganda Putera.

Sofyan dan Syafiq turut melahirkan rasa bangga kerana kejayaan tersebut bukan sahaja mengharumkan nama Sarawak, malah mengangkat nama Rumpun Silat Sarawak (RSS) serta Perguruan Seni Silat Benteng Betawi yang menjadi tempat mereka menimba ilmu dan membina asas sebagai pesilat.

“Demi negeri, demi perguruan, demi keluarga dan demi lencana Sarawak di dada.

“Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberi sokongan terhadap kejayaan kami,” kata Sofyan.

Bagi kedua-duanya, satu perkara sudah jelas selepas Sukma XXII gangsa pertama itu bukan sekadar pingat, tetapi tanda bahawa Sarawak sudah mempunyai asas untuk memburu emas Ganda Putera pada masa depan.

Oleh Afiq Sallehi