SHAH ALAM: Beraksi dalam keadaan menahan sakit akibat kecederaan jari kaki dan pinggang tidak menghalang atlet judo Sarawak, Leng Ko Jia, menampilkan aksi cemerlang untuk merangkul pingat emas kategori wanita bawah 70 kilogram (kg) pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026, hari ini.
Atlet berusia 17 tahun itu melengkapkan kempen sempurna dengan menewaskan wakil Melaka, Tan Mei Xu, pada aksi final di Pusat Konvensyen Ideal, sekali gus memperbaiki pencapaian selepas meraih pingat perak pada edisi Sukma 2024.
Sebelum itu, Ko Jia menundukkan wakil Pahang, Nur Delisha Suhaimi, menerusi ippon pada suku akhir sebelum mengatasi wakil Terengganu, Nurul Husna Atasya Abdullah, di separuh akhir.
Mengakui bertanding sambil menahan kesakitan, Ko Jia berkata sokongan ibu bapa, jurulatih, rakan-rakan serta pasukan perubatan membantu dirinya kekal fokus sepanjang pertandingan.


ATLET judo Sarawak, Leng Ko Jia merakam kenangan bersama peserta lain selepas tamat pertandingan pada Sukma XXII Selangor 2026 di Shah Alam, hari ini.
“Saya sangat gembira dan sangat bersyukur kepada ibu bapa, jurulatih dan rakan-rakan yang menyokong saya, selain pasukan perubatan yang membantu membalut jari kaki dan mempercepatkan proses pemulihan kesakitan.
“Saya memang bertanding dengan kecederaan pada jari kaki dan pinggang,” katanya.
Ko Jia yang mula menceburi judo sejak darjah tiga berkata kejayaan emas itu menyemarakkan azam untuk terus memperbaiki teknik dan kemahiran pegangan bagi memburu lebih banyak kejayaan pada masa depan.
Menariknya, judo turut menjadi sukan keluarga apabila ibu, bapa, dan adik-beradiknya turut terlibat dalam sukan berkenaan.
Pingat emas Ko Jia itu juga menjadi pingat pertama dan satu-satunya pingat yang disumbangkan untuk Sarawak menerusi acara judo pada Sukma XXII kali ini, sekali gus melengkapkan kempen skuad judo negeri dengan pencapaian membanggakan.
Oleh Shahrul Qaizat




