SIMANGGANG: Kemahiran memasak dan membakar bukan sekadar aktiviti di dapur, malah mampu menjadi titik permulaan kepada keusahawanan wanita menerusi peluang yang semakin terbuka hasil perkembangan teknologi dan platform digital.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie berkata, kemahiran berkenaan boleh dikembangkan menjadi sumber pendapatan sekiranya digabungkan dengan kreativiti, keberanian untuk berniaga serta keupayaan memanfaatkan platform digital.
“Saya juga percaya dapur boleh menjadi titik permulaan kepada keusahawanan, khususnya dengan peluang yang dibawa oleh teknologi dan platform digital hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Memasak dan Membakar anjuran Bahagian Wanita Klan Zhang, Sri Aman di Stadium Mini Sri Aman, semalam.

Menurut Doris, penganjuran program yang menghimpunkan wanita daripada pelbagai persatuan bukan sekadar memberi ruang untuk mempertandingkan kemahiran, tetapi turut menjadi platform memperkukuh hubungan dalam komuniti.
“Bagi saya, program seperti ini bukan sekadar pertandingan, tetapi platform untuk mengeratkan perpaduan, membina jaringan persahabatan, berkongsi pengalaman serta memperkasakan wanita,” katanya.
Beliau berkata, usaha menghimpunkan wanita daripada pelbagai latar belakang juga penting dalam membina jaringan yang boleh membuka lebih banyak peluang untuk perkongsian ilmu, pengalaman dan potensi ekonomi.
Doris turut berharap Sri Aman terus berkembang sebagai sebuah komuniti yang bukan sahaja aman, malah kaya dengan semangat kekitaan, saling menghormati dan menyokong antara satu sama lain.

Katanya, keharmonian serta kesejahteraan masyarakat perlu terus dipelihara supaya Sri Aman kekal menjadi tempat yang kondusif untuk komuniti berkembang dan maju bersama.
Turut hadir Presiden Klan Zhang Chong Kui Min, Pengerusi Penganjur Chong Sok Hung, Temenggong Kuek Aik Seng, Pengarah Urusan Sama Kampung Chong Kui Shian, beberapa presiden dan wakil persatuan di Sri Aman, ketua-ketua kaum serta kaunselor.
Oleh Adi Safarman




