Cuaca buruk jejas operasi pasar malam Metrocity 2

Facebook
WhatsApp
KEADAAN tapak niaga mengalami kerosakan ekoran kejadian ribut yang melanda di Pasar Malam Belia N6 Metrocity 2 di Kuching. Foto Bernama

KUCHING: Hujan lebat dan angin kencang menyebabkan operasi pasar malam belia N6 Metrocity 2 di sini semalam terpaksa ditutup berikutan kemusnahan teruk pada infrastruktur serta khemah peniaga.

Peniaga Mohamad Faisal, 42, berkata kejadian itu memaksa peniaga menyelamatkan diri selepas angin kencang menerbangkan dan merobohkan struktur kanopi di tapak pasar malam tersebut.

“Semasa itu, saya sedang menuju ke tapak saya, tetapi terus melarikan diri bersama-sama peniaga lain kerana takut ditimpa kanopi. Keadaan sangat bahaya kerana kanopi terbang dari arah depan dan belakang,” katanya ketika ditemui Bernama malam tadi.

KEADAAN kanopi peniaga mengalami kerosakan ekoran kejadian ribut yang melanda di Pasar Malam Belia N6 Metrocity 2, Hujan lebat dan angin kencang menyebabkan operasi pasar malam belia itu terpaksa ditutup berikutan kemusnahan teruk pada infrastruktur serta khemah peniaga. Foto Bernama

Mohamad Faisal yang berniaga di situ sejak 10 tahun lepas berkata menanggung kerugian hampir RM2,000 selepas peralatan berniaga dan barang jualan rosak akibat kejadian itu.

Sementara itu, timbalan pengerusi pasar malam itu Hamzah Hassan berkata kejadian itu antara yang paling teruk pernah berlaku dengan anggaran lebih 40 daripada kira-kira 300 lot peniaga di situ mengalami kerosakan kanopi dan barang jualan.

“Selain kanopi peniaga rosak, patah atau diterbangkan angin, kemudahan awam dan infrastruktur persatuan seperti pentas utama, pejabat pengurusan serta kabel bekalan elektrik turut roboh dan rosak.

ANTARA kenderaan terjejas akibat ribut kencang yang melanda petang semalam di Pasar Malam Belia N6 Metrocity 2 di Kuching. Foto Bernama

“Setiap peniaga dianggarkan menanggung kerugian kerosakan kanopi antara RM2,000 hingga RM5,000 mengikut saiz dan struktur, tidak termasuk kerosakan peralatan berniaga,” katanya.

Hamzah berharap pihak berkaitan dapat membantu mereka yang terkesan dalam kejadian itu untuk meringankan beban kewangan yang terpaksa ditanggung.- Bernama