BINTULU: Seni tarian singa kini tidak lagi dilihat sebagai aktiviti yang terhad kepada masyarakat Cina apabila penyertaan golongan bukan Cina semakin ketara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, perkembangan itu menunjukkan seni tradisional berkenaan mampu menjadi ruang interaksi antara kaum, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Kebanyakan pemain adalah bukan Cina. Jadi, kita mahu menggalakkan lebih ramai belia daripada pelbagai kaum menyertai tarian singa supaya mereka dapat mengenali dan menghargai budaya masyarakat lain.
“Saya fikir perkara sebegini sangat penting, terutama dalam konteks masyarakat berbilang kaum di Malaysia lebih-lebih lagi Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Pemberkatan Kepala Tarian Singa Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintulu yang berlangsung di Tokong Tua Pek Kong di sini, hari ini.
Johnny Pang memberitahu, penyertaan bukan Cina dalam kumpulan tarian singa turut membolehkan seni berkenaan diketengahkan dalam acara masyarakat pelbagai kaum, termasuk sambutan Gawai.
Menurutnya, pendekatan itu secara tidak langsung memberi peluang kepada belia untuk mempelajari budaya yang berbeza daripada latar belakang mereka sendiri.
Pada majlis tersebut, lapan ekor singa yang ditaja kepada kumpulan belia SUPP Bintulu menjalani upacara mencelikkan mata bagi menandakan permulaan rasmi penggunaannya.
Oleh Carolyne Utih





