KUCHING: Industri kraf tangan Sarawak perlu beralih daripada sekadar memelihara warisan kepada sektor ekonomi kreatif yang mampu bersaing di peringkat global menerusi visi Ruai ke dunia.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, visi itu bermaksud membawa hasil kreativiti yang lahir di rumah panjang ke pentas antarabangsa, termasuk muzium, jenama gaya hidup premium, hotel mewah, rumah fesyen, festival kebudayaan dan pameran reka bentuk.
Menurutnya, Sarawak memiliki aset budaya yang unik, asli dan sukar ditiru, namun cabaran kini bukan lagi sekadar memeliharanya, sebaliknya memastikan warisan itu mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“‘Ruai ke dunia’ bermaksud membawa kreativiti yang lahir di rumah panjang kita ke pentas dunia dan memastikan Pua Kumbu yang ditenun di Sarawak mendapat tempat di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kraftangan Iban Women Charitable Trust (IWCT) 2025/2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan penganjuran pertandingan IWCT akan datang turut membuka ruang kepada pereka fesyen antarabangsa untuk menyertai program berkenaan.
“Kita mempunyai bakat, keaslian dan kekayaan budaya. Kini kita perlu memperkukuh daya saing,” ujarnya.
Uggah menambah, antara cabaran utama industri kraf tangan Sarawak termasuk kos pengeluaran, kawalan kualiti, sumber bahan semula jadi, akses pasaran dan kepelbagaian produk.
Jelasnya, pembeli antarabangsa menuntut konsistensi dari segi mutu, kemasan, ketahanan dan persembahan, justeru pelaburan dalam latihan profesional, pensijilan produk, pembangunan reka bentuk dan jaminan kualiti perlu dipertingkatkan.

Beliau turut menekankan kepentingan mendapatkan bahan semula jadi seperti tumbuhan, akar, kulit kayu dan pewarna asli secara mampan bagi penghasilan warna tradisional Pua Kumbu, selaras dengan usaha pemuliharaan biodiversiti.
Pada masa sama, beliau berkata inovasi perlu diterapkan tanpa menjejaskan keaslian warisan, dengan motif Pua Kumbu, seni manik dan reka bentuk masyarakat pribumi boleh dikembangkan kepada koleksi fesyen, hiasan dalaman, produk hospitaliti, hadiah mewah, barang kemas dan produk gaya hidup kontemporari.
“Inovasi perlu menghormati tradisi, tetapi inovasi juga penting untuk memastikan tradisi terus relevan,” katanya.
Mengulas potensi ekonomi sektor itu, Douglas berkata data Majlis Kraf Sarawak menunjukkan pelbagai acara promosi sepanjang 2025 menjana jualan keseluruhan RM5.9 juta.
Daripada jumlah itu, RM2.07 juta direkodkan menerusi acara di luar Sarawak manakala RM3.83 juta lagi daripada acara dalam Sarawak.
Festival Etnobudaya di Miri baru-baru ini turut merekodkan jualan kraftangan sebanyak RM670,000.
Katanya, pencapaian itu menunjukkan potensi besar industri kraf tangan untuk berkembang menerusi penjenamaan lebih kukuh, pemasaran strategik, pembangunan produk dan pendedahan antarabangsa.
Beliau berkata pelancong antarabangsa kini semakin mencari pengalaman budaya asli, termasuk mengunjungi rumah panjang, menyaksikan proses tenunan Pua Kumbu, mempelajari seni manik serta memahami kisah dan tradisi masyarakat tempatan.
Sehubungan itu, bagi memperkukuh sokongan terhadap program IWCT, Uggah mengumumkan suntikan kewangan RM100,000, dengan RM50,000 disumbangkan beliau, RM30,000 oleh Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan RM20,000 daripada Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat.
Beliau menggesa generasi muda supaya tidak melihat kraf tangan sebagai sesuatu yang hanya berkaitan dengan masa lalu, sebaliknya peluang untuk masa depan.
“Ekonomi kreatif Sarawak pada masa depan bergantung kepada golongan muda yang selesa menggunakan alat tenun tradisional dan platform digital,” katanya.





