Kemahiran kraf Iban perlu diwarisi generasi muda

Facebook
WhatsApp
TAN Sri Dato Sri Empiang Jabu berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kemahiran Kraf Tangan 2025/2026 anjuran Amanah Kebajikan Wanita Iban (IWCT) di sebuah hotel terkemuka hari ini. Foto Adele Rissa

KUCHING: Warisan kraf tradisional Iban perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda bagi memastikan identiti serta nilai budaya masyarakat itu tidak hilang ditelan perubahan zaman.

Pengerusi Amanah Kebajikan Wanita Iban (IWCT), Tan Sri Dato Sri Empiang Jabu berkata, kraf tradisional bukan sekadar hasil tangan untuk dipamerkan, sebaliknya menjadi wadah yang membawa sejarah, kepercayaan, nilai dan cara hidup masyarakat Iban.

“Tanggungjawab memelihara warisan itu perlu dipikul bersama, khususnya oleh mereka yang masih memiliki kemahiran menghasilkan kraf tradisional untuk mengajarkannya kepada generasi muda.

“Bagi mereka yang mempunyai kemahiran, jangan berhenti mengajarkannya kepada golongan muda supaya kraf kita tidak terputus atau pupus, sebaliknya terus dikenali dan dihargai oleh masyarakat lain,” katanya.

ANYAMAN marik empang atau tangu antara hasil karya yang dihasilkan peserta Pertandingan Kemahiran Kraf Tangan 2025/2026 anjuran IWCT. Foto Adele Rissa

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kemahiran Kraf Tangan 2025/2026 anjuran IWCT di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Empiang berkata, kepentingan pemindahan ilmu itu jelas melalui penyertaan 111 penggiat kraf dari seluruh Sarawak yang menghantar sebanyak 122 hasil kraf dalam sembilan kategori pertandingan.

Menurutnya, penyertaan membabitkan peserta berusia antara 19 hingga 81 tahun, sekali gus memperlihatkan wujudnya kesinambungan kemahiran tradisional antara generasi.

“Apabila kita melihat peserta yang lebih berusia bersama golongan muda, kita dapat melihat bahawa warisan ini masih berada dalam tangan yang mampu menjaganya,” ujarnya.

TENUNAN pua kumbu antara hasil karya yang dihasilkan peserta Pertandingan Kemahiran Kraf Tangan 2025/2026 anjuran IWCT. Foto Adele Rissa

Sehubungan itu, beliau menyeru golongan muda supaya tidak melihat warisan tradisional sebagai sesuatu yang ketinggalan zaman, sebaliknya menggunakan teknologi, pendidikan dan platform moden untuk memastikan budaya itu terus hidup dan relevan.

Dalam pada itu, Empiang berkata IWCT berhasrat meneruskan program seumpama itu bagi meningkatkan mutu kraf Iban, selain menggalakkan penghasilan dalam jumlah lebih besar untuk tujuan komersial dan membantu meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.

Katanya, usaha memelihara warisan bukan tanggungjawab satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan penglibatan penggiat kraf, golongan muda, institusi pendidikan, kerajaan dan masyarakat secara keseluruhannya.

Majlis penyampaian hadiah Pertandingan Kemahiran Kraf Tangan 2025/2026 anjuran Amanah Kebajikan Wanita Iban (IWCT) disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas

Pertandingan berkenaan merangkumi kategori Tikai Bemban Anyam Bebuah, Pua Kumbu, Kain Kebat, Kain Karap, Marik Empang atau Tanggu, Baju Kuas, Parang Nyabur Indu, Parang Nyabur Lelaki dan Langgai Tingang.

Oleh Adele Rissa