Zulhafiz sambar emas kedua Sarawak

Facebook
WhatsApp
SEKITAR aksi Mohamad Zulhafiz Zulhadi pada acara kyorugi lelaki bawah 87 kilogram di Pusat Konvensyen Ideal(IDCC) Shah Alam.

SHAH ALAM: Tiga perlawanan, tiga kemenangan 2-0, itulah perjalanan sempurna Mohamad Zulhafiz Zulhadi dalam misi menghadiahkan emas kedua buat Sarawak pada Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026, hari ini.

Zulhafiz,19 muncul juara acara kyorugi lelaki bawah 87 kilogram selepas menewaskan wakil Wilayah Persekutuan, Ng Kar Weng, 2-0 pada aksi final di Pusat Konvensyen Ideal(IDCC) Shah Alam.

Atlet Sarawak itu terlebih dahulu menewaskan wakil Sabah, Nick Noveen Norbert, 2-0 pada peringkat suku akhir sebelum mengulangi keputusan sama ketika menundukkan wakil Negeri Sembilan, Adzim Syamir bin Shofian, pada separuh akhir.

Kemenangan di final melengkapkan kempen tanpa kalah Zulhafiz dengan rekod tiga kemenangan berturut-turut, semuanya menerusi keputusan 2-0.

Lebih manis, kejayaan itu hadir sejurus selepas Allexandre Axcell Juntan menghadiahkan emas pertama Sarawak menerusi acara kyorugi lelaki bawah 63 kilogram pada hari yang sama.

Dua emas yang disumbangkan Allexandre dan Zulhafiz sekali gus menyaksikan skuad taekwondo Sarawak mencuri tumpuan apabila menyumbang dua emas kepada kontinjen Bumi Kenyalang pada Sukma kali ini.

Kejayaan Zulhafiz turut menyemarakkan pemburuan pingat Sarawak pada temasya berkenaan, sekali gus memberikan suntikan kepada kontinjen untuk terus menambah koleksi emas.

Oleh Shahrul Qaizat