KOTA SAMARAHAN: Projek pengeluaran cip bagi menjana tenaga daripada cahaya matahari untuk kegunaan satelit di Bintulu disifatkan sebagai yang pertama di dunia dan dijangka mengambil masa tiga tahun untuk direalisasikan, sekali gus meletakkan tempoh sasaran sekitar 2029.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek itu dibangunkan menerusi kerjasama dengan syarikat dari Korea dan melibatkan 500 jurutera anak Sarawak bersama jurutera Korea.
“Projeknya sudah bermula. Bangunannya sedang dibangunkan dan dalam masa tiga tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Perasmian Sambutan Minggu Belia Sarawak 2026 di Dewan Suarah Kota Samarahan, hari ini.
Mengulas lanjut, Universiti Teknologi Swinburne Sarawak merupakan antara universi yang turut bekerjasama dengan syarikat berkenaan bagi melatih pelajar melalui program latihan industri sebelum mereka berpeluang diserap sebagai jurutera.
“Kalau mereka sudah habis pembelajaran, mereka boleh diambil bekerja dalam syarikat tersebut untuk menjadi tenaga jurutera,” jelasnya.
Dalam ucapannya pada majlis yang sama, beliau menjelaskan bahawa cip berkenaan akan digunakan untuk menukar cahaya matahari kepada tenaga yang diperlukan bagi mengoperasikan satelit.
“Satelit berkenaan pula boleh digunakan untuk mendapatkan maklumat dari bumi, termasuk mengenai khazanah dan sumber yang terdapat di Sarawak.
“Tapak ujian untuk cip tersebut akan dibuat di Bintulu, pertama dalam dunia.
“Jadi, kalau Bintulu sudah diiktiraf oleh Forum Ekonomi Dunia sebagai Kelompok Perindustrian Rendah Karbon Baharu, kita Sarawak bakal memainkan peranan penting dalam perubahan ekonomi dunia kita,” ujarnya.
Pada Mei lalu, Abang Johari memaklumkan sebuah syarikat Korea Selatan yang mengembangkan operasi pengeluaran polisilikon semikonduktor di Samalaju, Bintulu memerlukan kira-kira 1,000 jurutera bagi menyokong pengembangan operasinya.
Beliau ketika itu turut menyatakan keperluan mengambil pelatih daripada universiti tempatan supaya mereka mendapat pendedahan industri dan berpeluang diserap sebagai jurutera selepas tamat pengajian.
Pada Jun lalu, Sarawak dan Korea Selatan turut dilaporkan bekerjasama membangunkan teknologi sel tenaga berasaskan cahaya matahari di Bintulu, termasuk penyelidikan berkaitan penjanaan elektrik melalui pemecahan cahaya.
Sementara itu, Sarawak sebelum ini turut mempergiat kerjasama antarabangsa dalam pembangunan teknologi semikonduktor dan satelit, termasuk usaha membangunkan reka bentuk cip tempatan bagi aplikasi teknologi angkasa.
Oleh Masrin Affirah





