Rakyat perlu memberi kerjasama dengan kerajaan untuk merancakan lagi pembangunan

Facebook
WhatsApp
Rakyat perlu memberi kerjasama dengan kerajaan untuk merancakan lagi pembangunan

MARUDI: Pembangunan sesebuah kawasan tidak boleh digerakkan oleh satu pihak sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, agensi, pemimpin masyarakat dan rakyat.

Menurut Pegawai Daerah Marudi, Rose Edward Tarang, semua pemimpin masyarakat di daerah ini digesa supaya terus memainkan peranan sebagai penghubung yang berkesan antara kerajaan dengan masyarakat. 

Katanya sekiranya terdapat permasalahan berkaitan kemudahan asas, infrasruktur, kebajikan, pendidikan, ekonomi, pekerjaan atau perkara lain, hendaklah disalurkan melalui saluran yang betul supaya tindakan sewajarnya dapat diambil oleh pihak yang berkaitan.

“Kita tidak mahu sesuatu permasalahan hanya dibincangkan di peringkat masyarakat tanpa sampai kepada pihak yang mempunyai tanggungjawab untuk mengambil tindakan,” katanya.

PEMIMPIN Bersama Rakyat di Rh Saut mendapat sambutan menggalakkan. Foto Jiku Juguong

Sebaliknya menurut beliau, kita mahu wujud satu rantaian komunikasi yang jelas, cepat dan berkesan antara rakyat, pemimpin mayarakat agensi kerajaan dan pihak pentadbiran.

Jelasnya dengan cara ini isu-isu yang timbul dapat dikenal pasti lebih awal dan diusahakan penyelesainnya secara bersama.

Dalam pada itu beliau menekankan bahawa pembangunan bukan hanya tanggungjawab kerajaan yang mana rakyat juga mempunyai peranan yang sangat penting dalam memastikan pembangunan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan baik dan memberi manfaat kepada semua.

Beliau berharap msyarakat akan terus memberi kerjasama kepada pihak kerajaan, khususnya dalam menjaga kemudahan awam, memelihara kebersihan, menjaga keamanan serta menyokong program pembangunan yang dilaksanakan.

“Kita mahu melihat masyarakat Marudi bukan sahaja menjadi penerima manfaat pembangunan tetapi turut menjadi rakan strategik kerajaan dalam membangunkan daerah ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rh Saut Sg Sebatang Marudi semalam.

Program dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Gala,

Sehubungan itu Rose Edward menjelaskan Pemimpin Bersama Rakyat bukan sekadar program turun padang dan lebih daripada itu ia merupakan satu platform penting untuk mendekatkan kerajaan dengan rakyat dan rakyat dengan kerajaan.

“Melalui program ini, kita dapat melihat sendiri keadaan masyarakat di peringkat akar umbi mendengar suara rakyat serta memahami keperluan sebenar yang dihadapi oleh masyarakat,” tambah beliau.

Dianggarkan 1,000 masyarakat Poyut/Lubok Nibong dan sekitarnya hadir pada majlis tersebut.

Oleh Jiku Juguong