Lelaki didenda miliki minuman keras

Facebook
WhatsApp

MIRI:  Seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM500 oleh Mahkamah Majistret Miri hari ini selepas mengaku bersalah memiliki minuman keras tidak bercukai.

Lelaki berkenaan didakwa mengikut Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Sarawak susulan penemuan pelbagai jenis minuman keras dipercayai tidak bercukai dalam satu operasi polis pada 5 Ogos lalu.

Operasi tersebut dijalankan oleh sepasukan anggota Cawangan Risik Batalion Ke-12 Pasukan Gerakan Am (PGA) Miri di sebuah kediaman di Jalan Bunga Raya 2, Taman Bumiko, Miri.

Hasil pemeriksaan, polis menemui pelbagai jenama minuman keras yang disimpan di dalam premis berkenaan yang dipercayai dijadikan sebagai tempat penyimpanan.

Polis turut menemukan dua buah motovan yang sarat dengan muatan minuman keras.

Kesemua minuman keras berkenaan dipercayai tidak mempunyai bayaran cukai yang sah kepada Kastam Malaysia.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee  berkata kegiatan menyimpan atau menjual minuman keras tidak bercukai bukan sahaja menjejaskan hasil negara, malah boleh membuka ruang kepada aktiviti penyeludupan yang menguntungkan pihak tertentu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau penjualan minuman keras tidak bercukai diminta tampil menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah atau balai polis berhampiran,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook Polis Daerah Miri hari ini.

Beliau berkata, kerjasama masyarakat amat dihargai dalam membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan penyeludupan serta memastikan undang-undang negara terus dipelihara.

Oleh Liong Chai Ling