Kerjasama Affin-Kuching FC perkasa ekosistem sukan, ekonomi Sarawak

Facebook
WhatsApp
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali ketika menyampaikan ucapan pada majlis pemeteraian kerjasama strategik antara Kumpulan Affin dan Kuching City FC sebagai rakan perbankan rasmi kelab di Hikmah Exchange Kuching hari ini.

KUCHING: Kerjasama strategik antara Kumpulan Affin dan Kuching City FC (KCFC) bukan sekadar penajaan atau sokongan terhadap pasukan bola sepak, sebaliknya mempunyai potensi memperkukuh ekosistem sukan, pelancongan dan ekonomi komuniti di Sarawak.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali, berkata pelaburan dalam sukan merupakan satu bentuk pelaburan terhadap pembangunan manusia, komuniti dan aspirasi bersama.

Menurutnya, sukan memainkan peranan penting dalam menyatukan masyarakat, mencungkil bakat serta memberi inspirasi kepada generasi muda.

 KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Kuching City FC, Iswandi Ali Hassan, dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali, menandatangani perjanjian kerjasama yang disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Presiden Kuching City FC, Dato’ Fazzrudin Abdul Rahman, di Hikmah Exchange Kuching, hari ini.

“Melabur dalam sukan bukan sekadar mengenai persaingan. Ia adalah pelaburan terhadap manusia, komuniti dan aspirasi yang kita kongsi bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pemeteraian kerjasama strategik antara Kumpulan Affin dan KCFC sebagai rakan perbankan rasmi kelab di Hikmah Exchange Kuching, hari ini.

Wan Razly berkata perkembangan KCFC sebagai antara kelab bola sepak terkemuka di Malaysia, selain aspirasinya untuk bersaing di peringkat ASEAN, menjadikan kerjasama itu satu platform strategik untuk mewujudkan peluang lebih besar kepada kelab, pemain dan penyokong.

Katanya, Affin membawa kekuatan dalam bidang kewangan, kepakaran digital serta komitmen terhadap pembangunan nilai ekonomi jangka panjang, manakala KCFC mempunyai kekuatan dalam kecemerlangan sukan, kerja berpasukan dan aspirasi untuk mencapai kejayaan lebih tinggi.

“Apabila kita menggabungkan kekuatan ini, kita dapat mewujudkan peluang yang lebih besar untuk kelab dan penyokong, di samping menyumbang kepada kejayaan Sarawak serta memperkukuh ekosistem sukan dan pelancongan,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Razly berkata pembangunan sukan mempunyai hubungan rapat dengan pertumbuhan ekonomi kerana kejayaan dalam sukan turut menghasilkan limpahan kepada sektor lain.

Menurutnya, aktiviti sukan berupaya merancakkan pelancongan, perniagaan tempatan serta aktiviti ekonomi komuniti, khususnya apabila sesuatu kejohanan menarik kehadiran penyokong dan pengunjung dari luar.

Beliau berkata disiplin, strategi dan kerja berpasukan yang menjadi asas dalam sukan turut merupakan nilai penting dalam membina perniagaan serta ekonomi yang kukuh.

“Perkembangan sukan dan kemajuan ekonomi saling melengkapi. Nilai seperti disiplin, strategi dan kerja berpasukan dalam sukan juga penting untuk membina perniagaan dan ekonomi yang kukuh,” katanya.

Wan Razly berkata Affin turut melihat peranan institusi perbankan pada masa kini lebih luas berbanding sekadar menyediakan produk kewangan, sejajar dengan keperluan pelanggan yang mahukan nilai dan penyelesaian yang berkait rapat dengan kehidupan seharian mereka.

Beliau berkata sokongan terhadap KCFC merupakan sebahagian daripada komitmen Affin dalam pembangunan sukan negara, selain sokongan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persekutuan Lawn Bowls Malaysia.

Katanya, kerjasama dengan KCFC turut mencerminkan komitmen Affin untuk menyokong perkembangan Sarawak yang sedang membuka lebih banyak peluang dalam sektor perniagaan, komuniti, sukan dan pembangunan generasi masa depan.

“Kerjasama ini bukan hanya mengenai hari ini, tetapi mengenai apa yang boleh kita bina bersama untuk masa depan,” katanya.

Beliau menegaskan kerjasama tersebut akan terus dipacu menerusi prinsip Affin, ‘Always About You’, dengan memberi tumpuan kepada keperluan kelab, penyokong, komuniti dan masyarakat secara lebih menyeluruh.

Oleh Afiq Sallehi