SHAH ALAM: Atlet taekwondo Sarawak, Martha Evyanna menyumbang pingat gangsa dalam acara kyorugi wanita bawah 46 kilogram pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026, hari ini.
Martha menempah tiket ke podium selepas menewaskan wakil Sabah, Sukie Alinskie J. Palikat 2-1 pada aksi suku akhir di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.
Bagaimanapun, langkahnya ke final tersekat apabila tewas 0-2 kepada wakil Negeri Sembilan, Mariam Adlydelisha Afea pada peringkat separuh akhir.
Kekalahan itu menyaksikan Martha berkongsi pingat gangsa bersama seorang lagi atlet yang tewas di separuh akhir, mengikut format pertandingan taekwondo.


Sebelum itu, Martha membuka kempen dengan kemenangan 2-0 ke atas Nur Aleeya Maisara dari Perak pada pusingan 16 terbaik.
Presiden Persatuan Taekwondo Sarawak, Azizul Annuar Adenan berkata, pencapaian tersebut menjadi petanda positif buat skuad yang dibarisi beberapa muka baharu, selain pengalaman yang diraih bakal menjadi asas penting untuk pembangunan atlet negeri pada masa depan.
“Sebahagian besar pasukan Sarawak kali ini dibarisi muka baharu dan mereka merupakan antara kumpulan pembangunan utama kami.
“Kita mempunyai atlet dalam kategori kelas menengah dan berat yang pernah beraksi pada edisi SUKMA sebelum ini serta menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan, jadi ada potensi untuk kita memburu emas pada perlawanan esok,” katanya ketika ditemui pemberita.





