KUCHING: Perjalanan Kuching City FC (KCFC) daripada saingan bola sepak tempatan hingga melangkah ke pentas ASEAN menjadi bukti kesungguhan dan semangat juang anak Sarawak dalam membina sebuah pasukan yang mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.
Presiden Kuching City FC, Dato’ Fazzrudin Abdul Rahman, berkata kejayaan itu tidak dicapai dalam tempoh singkat, sebaliknya melalui usaha berterusan, komitmen pasukan serta sokongan kepimpinan kerajaan Sarawak.
Menurutnya, antara individu yang memainkan peranan penting dalam perkembangan bola sepak Kuching ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Semuanya bermula pada 2012 ketika beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok. Beliau mahu kami membangunkan sukan bola sepak di peringkat Kuching melalui penganjuran Piala Datuk Abang Jo setiap tahun.
“Apabila Liga Bola Sepak Rakyat diperkenalkan pada 2015, beliau memberi lampu hijau untuk kami menghantar pasukan dan hasilnya Kuching muncul juara kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena majlis pemeteraian kerjasama strategik antara Kuching City FC dan Kumpulan AFFIN sebagai rakan perbankan rasmi kelab di Kuching, hari ini.
Fazzrudin berkata, kejayaan itu menjadi antara titik penting dalam perkembangan pasukan sebelum satu lagi amanat besar diberikan Premier pada 11 Januari 2017.
Katanya, beliau bersama kepimpinan bola sepak Kuching ketika itu dipanggil menghadiri satu majlis makan malam bersama Abang Johari yang kemudiannya memberikan mandat untuk mengangkat pasukan Kuching ke tahap lebih tinggi.
Fazzrudin berkata, KCFC kemudiannya melalui pelbagai cabaran dan peringkat persaingan sebelum berjaya meningkat daripada liga bawahan, beraksi di Liga Super dan melangkah ke perlawanan akhir pertandingan domestik.
Kini, katanya, KCFC bersedia membawa nama Kuching dan Sarawak ke pentas bola sepak ASEAN.
“Tiada alasan untuk tidak berusaha. Setiap pemain dan pengurusan perlu memberikan komitmen 100 peratus.

“Kedudukan kita hari ini tidak menentukan pengakhiran. Kalau kita berdepan kesukaran hari ini, ia bukan bermakna cita-cita kita berakhir.
“Dan kita perlu berjuang untuk menang kerana tiada siapa akan memberikan kemenangan atau piala secara percuma. Semuanya perlu diperjuangkan di atas padang,” katanya.
Menurutnya, semangat itu menjadi asas kepada perjuangan KCFC kerana pasukan berkenaan bukan sahaja membawa nama kelab, tetapi turut memikul harapan rakyat Sarawak.
“Kita membawa tanggungjawab yang lebih besar daripada diri kita sendiri. Kita membawa harapan seluruh rakyat Sarawak.
“Kita mahu membuktikan kepada setiap anak Sarawak bahawa kita boleh buat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Fazzrudin menyifatkan kerjasama strategik bersama Kumpulan AFFIN sebagai rakan perbankan rasmi KCFC sebagai satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan kelab.
Katanya, kerjasama itu bukan sahaja dapat memperkukuh aspek kewangan dan pengurusan kelab, malah membuka peluang lebih luas dalam pembangunan bakat muda serta komuniti sukan di Sarawak.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kumpulan AFFIN, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak serta Premier Sarawak atas sokongan berterusan terhadap pembangunan KCFC.
Fazzrudin menegaskan KCFC akan terus membawa nama Sarawak dengan penuh kebanggaan apabila beraksi di pentas ASEAN.
Oleh Afiq Sallehi





