SIBU: Kelab Lastik Rejang membuka penyertaan kepada orang ramai bagi menyertai Kejohanan Kelab Lastik Rejang Vol. 1 yang dijadual berlangsung di Swan Square pada 29 hingga 30 Ogos ini.
Kelab Lastik Rejang dalam satu kenyataan memaklumkan kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan RM15,000 itu dianjurkan bagi mempromosikan sukan lastik serta memberi peluang kepada peminat sukan tersebut menyertai pertandingan dalam pelbagai kategori.
Menurutnya, kejohanan tersebut mempertandingkan lima kategori utama iaitu Divisyen Kejuaraan Lelaki, Divisyen Cabaran Lelaki, Divisyen Kejuaraan Wanita, Divisyen Kejuaraan Remaja Bawah 17 Tahun dan Cabaran Lastik Klasik.
“Selain kategori utama, kejohanan ini turut menampilkan Pertunjukan Lastik: Cabaran Lastik Paling Kacak yang memberi ruang kepada peserta menonjolkan kreativiti dan inovasi dalam reka bentuk lastik.
“Acara itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu Custom Bebas yang menampilkan inovasi dan seni moden, serta Custom Klasik yang mengetengahkan warisan dan estetika tradisional,” menurut kenyataan itu.
Di samping itu, kejohanan tersebut akan dijalankan mengikut format 10 meter mudball dan dibahagikan kepada tiga peringkat, iaitu pusingan kelayakan, penempatan divisyen dan seterusnya peringkat kalah mati.
“Pendaftaran awal atau early bird kini dibuka kepada peserta yang berminat dan kami mengalu-alukan penyertaan daripada semua lapisan masyarakat, termasuk golongan belia dan wanita,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyertai kejohanan boleh mendapatkan maklumat lanjut dan membuat pendaftaran dengan menghubungi urus setia di talian 014-596 5986.





