BAU: Lima penghuni terselamat selepas sebuah rumah dua tingkat yang didiami mereka musnah kira-kira 70 peratus dalam kebakaran berhampiran Dewan Dayak Baru, Jalan Emas di sini, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 12.49 tengah hari.
Susulan itu, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi.
Pasukan bomba tiba pada 12.54 tengah hari dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat berstruktur separuh kekal dengan tingkat atas kediaman berkenaan sedang terbakar.
Kebakaran memusnahkan kira-kira 70 peratus struktur rumah berkeluasan 30 x 40 kaki persegi itu.
Pasukan bomba melakukan pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 300 kaki dengan dua nozel serta satu aliran salur bantu mula sehingga api berjaya dikawal pada 1.15 petang.
Kesemua lima penghuni dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi yang diketuai Rahmat Hassan tamat sepenuhnya pada 1.46 petang selepas kerja-kerja pemeriksaan akhir dilakukan bagi memastikan tiada lagi punca nyalaan.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.





