LIMA: Peru mengisytiharkan darurat selama 60 hari di sekurang-kurangnya 607 daerah merangkumi 16 wilayah susulan risiko kekurangan bekalan air yang boleh menjejaskan penduduk serta aktiviti setempat, lapor Xinhua.
Langkah itu diwartakan menerusi Dekri Tertinggi yang diterbitkan pada Khamis, yang mengarahkan pelaksanaan “langkah dan tindakan luar biasa, segera serta perlu” bagi menangani kekurangan air untuk musim hujan 2026 hingga 2027.
Langkah berkenaan bertujuan mengurangkan tahap “risiko sangat tinggi” di daerah terjejas serta menyokong pelaksanaan usaha tindak balas dan pemulihan.



Kerajaan wilayah dan tempatan akan melaksanakan langkah terbabit di bawah penyelarasan teknikal dan pemantauan Institut Pertahanan Awam Kebangsaan (Indeci), dengan sokongan kementerian berkaitan serta entiti awam atau swasta.
Kerajaan membuat keputusan itu berdasarkan laporan teknikal Indeci yang memberi amaran mengenai penyusutan aliran sungai serta penurunan berterusan paras takungan, yang berisiko menjejaskan ketersediaan bekalan air negara.
Laporan itu turut menyebut pengaruh keadaan El Nino di kawasan tengah Pasifik khatulistiwa yang boleh membawa risiko tinggi terhadap sektor pertanian, penternakan dan kesejahteraan awam. – Bernama-Xinhua





