Diam
Diam.
Ada kata — diam : bibir berkatup.
Ada kata — diam : tiada tala.
Kataku,
Diam — tala dalam raga tiada berselak.
Berkata namun diam.
Azmin Sahran,
28 Jun 2026,
Gumpey.
Anak Kaca
(Generasi Z)
Mereka dilahirkan,
ke dalam dunia yang bercahaya,
sebelum sempat membuka mata.
Jari mereka lebih pantas,
daripada kata,
hati mereka lebih dalam,
daripada yang terpapar di skrin.
Dunia menuduh mereka hilang,
dalam labirin cahaya biru,
sedang mereka sedang mencari,
bahasa baru,
untuk perkara yang lama.
Jangan tanya mengapa mereka senyap,
kerana dalam senyap itu,
sedang berlangsung,
peperangan paling sunyi,
yang belum pernah ada namanya.
Walfred Anak Basin,
Miri, Sarawak
Segalanya Sangon
Bangsamu sangon
bukanlah warna kain
tetapi pada urat sungai
yang mengalir setiap nadimu
Budayamu sangon
bukan pada gong pusaka
tetapi pada degupan jantung
yang berpaut pada irama rimba
Warisanmu sangon
bukan pada kisah silam
tetapi pada api kecil
yang dibawa ke zaman moden
agar dunia tahu
tanah ini masih hidup
Bidayuh sangon
umpama matahari yang tak akan padam
umpama hujan yang menumbuhkan semangat
kau adalah nama
yang takkan hancur dipecahkan masa
Benjamin Asin
Bau, Sarawak
Glosari
sangon cantik dalam bahasa Bidayuh





