ISKANDAR PUTERI, 8 Oktober: Lima penerbangan yang dijadualkan mendarat dan berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), Johor Bahru terjejas pagi ini berikutan jarak penglihatan rendah akibat keadaan jerebu.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata keadaan cuaca itu menjejaskan operasi penerbangan apabila pesawat tidak dapat mendarat atas faktor keselamatan.
Beliau berkata beberapa pesawat terjejas terpaksa dilencongkan ke lokasi lain, termasuk ke Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Changi, Singapura, manakala penerbangan yang belum berlepas pula diminta menangguhkan perjalanan.
“Beberapa penerbangan pada pagi ini memang terjejas oleh kerana jarak penglihatan rendah di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Bukan sahaja tak boleh mendarat, tetapi yang belum berlepas pula diminta untuk menundakan penerbangan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Armada Lori Terminal Berkuasa Elektrik di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), di sini hari ini.
Menurut Loke, penerbangannya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Senai yang sepatutnya berlepas 7.15 pagi turut terjejas apabila ditangguhkan selama satu jam 45 minit sebelum dibenarkan berlepas.
“Penerbangan saya juga terjejas. Sepatutnya penerbangan saya berlepas awal pagi tetapi selepas mendaftar masuk sekitar 7.00 pagi, juruterbang memaklumkan bahawa pesawat tidak boleh mendarat di Senai.
“Maka kalau kita berlepas sekali pun, ia tetap tidak boleh mendarat jadi lebih baik kita menunggu di KLIA. Jadi kita menunggu hampir satu jam 45 minit, hingga 9.00 pagi baru berlepas,” katanya.
Sementara itu, setakat 9.00 pagi, tujuh kawasan di Johor merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat.
Segamat merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 186, diikuti Pasir Gudang (180), Larkin (178) dan Tangkak (171). – Bernama




