LIMBANG: Lawatan muhibah Ahli Jawatankuasa Takmir, Jemaah dan Muslimah Masjid-Masjid Brunei Darussalam ke Masjid Jannatul Firdaus Bahagian Limbang semalam menjadi wadah mempererat hubungan silaturahim dan ukhuwah antara masyarakat Islam kedua-dua negara berjiran.
Delegasi seramai 30 orang itu diketuai Imam Muhammad Ashraf Bujang Yussop dan disambut mesra Pengerusi Jawatankuasa Masjid Jannatul Firdaus Bahagian Limbang, Penghulu Jamil Bakir bersama beberapa ahli jawatankuasa tertinggi masjid berkenaan.
Muhammad Ashraf berkata, lawatan tersebut merupakan satu langkah strategik dalam menjalin hubungan silaturahim antara pegawai masjid dan jemaah dari Brunei Darussalam dengan ahli jawatankuasa Masjid Jannatul Firdaus Bahagian Limbang.
Menurutnya, hubungan berkenaan penting memandangkan masyarakat kedua-dua kawasan merupakan jiran terdekat yang mempunyai hubungan serumpun.
“Melalui lawatan ini, hubungan silaturahim antara dua negara berjiran dapat diperkukuhkan, selain memberi peluang kepada kedua-dua pihak berkongsi idea, bertukar pandangan dan mengeratkan ukhuwah sesama kita,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.
Pada majlis itu, Ahli Jawatankuasa Takmir, Jemaah dan Muslimah Masjid-Masjid Brunei Darussalam turut menghulurkan sumbangan wang tunai kepada Masjid Jannatul Firdaus Bahagian Limbang.
Selain Masjid Jannatul Firdaus Bahagian Limbang, delegasi berkenaan turut mengadakan lawatan sama ke Masjid Sultan Mohammad di Wilayah Persekutuan Labuan pada Julai lalu.
Program yang bermula 10.00 pagi itu turut diserikan dengan persembahan zikir marhaban oleh kumpulan Masjid Jannatul Firdaus Bahagian Limbang bersama Ahli Jawatankuasa Takmir, Jemaah dan Muslimah Masjid-Masjid Brunei Darussalam.




