Skuad polo air bangkit daripada ketinggalan, jinakkan Wilayah Persekutuan 19-6

Facebook
WhatsApp
SEKITAR aksi polo air kontinjen Sarawak.

SELANGOR: Ketinggalan satu gol selepas separuh masa pertama tidak sedikit pun menggugat ketenangan Sarawak apabila mereka bangkit dengan persembahan dominan untuk membelasah Wilayah Persekutuan 19-6 dalam aksi polo air wanita Sukan Malaysia (Sukma) di Pusat Akuatik Darul Ehsan, hari ini.

Selepas membuka kempen dengan kemenangan 18-11 ke atas Pulau Pinang semalam, skuad kendalian Lau Kum Weng sekali lagi diuji apabila ketinggalan 3-2 selepas tempoh pertama.

Sebaliknya, beliau mahu pemainnya mengawal tempo permainan sebelum mencari ruang untuk bangkit.

Namun, situasi itu sememangnya sudah dijangka Lau yang terlebih dahulu mengingatkan anak buahnya supaya tidak panik sekiranya ketinggalan satu atau dua gol pada awal permainan.

“Saya sudah beritahu pemain sebelum perlawanan supaya bersedia sekiranya ketinggalan satu atau dua gol.

“Jika keadaan itu berlaku, kapten perlu mengambil kawalan terhadap tempo permainan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.

Arahan itu membuahkan hasil apabila Sarawak tampil jauh lebih tersusun pada separuh masa kedua sebelum terus menguasai baki permainan untuk melakar kemenangan besar 19-6.

Lau mengakui berpuas hati dengan kemenangan kedua berturut-turut itu, namun mengingatkan pasukannya masih mempunyai ruang besar untuk diperbaiki menjelang perlawanan lebih mencabar.

“Saya agak gembira dengan kemenangan ini, tetapi kami masih boleh memperbaiki banyak perkara,” katanya.

Penyerang Sarawak, Thong Kar Sing sekali lagi menjadi antara watak utama kemenangan itu apabila meledak lima gol, selepas menghasilkan sembilan gol ketika menewaskan Pulau Pinang dalam aksi pembukaan.

Lau menyifatkan Thong sebagai pemain yang mempunyai daya saing dan keinginan tinggi untuk menang, namun enggan terlalu bergantung kepada prestasi seorang pemain ketika Sarawak bakal berdepan ujian lebih sukar.

Katanya, kelebihan awal tidak semestinya menjamin kemenangan kerana prestasi serta emosi pemain boleh berubah dalam tempoh singkat.

“Apabila kita boleh mendahului, sudah tentu ia lebih baik, tetapi prestasi pemain boleh naik dan turun. Perangai atau emosi pemain juga boleh berubah dalam beberapa saat,” katanya.

Kemenangan kedua itu meletakkan Sarawak dalam kedudukan baik dalam saingan format liga sepusingan berkenaan.

Sarawak akan berdepan tuan rumah Selangor esok sebelum menamatkan saingan menentang Negeri Sembilan pada 16 Ogos.

Turut hadir menyaksikan perlawanan ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) merangkap Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Mu’azamir Jili; Presiden Persatuan Renang Amatur Sarawak (ASAS), Pemanca Tan Kun Gee dan Pengarah Teknikal ASAS, Voon Yong Hui.