SARATOK: Tiga lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 28 tahun ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kes mencuri tong gas milik seorang pekebun di sebuah rumah panjang di Awik, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, ketiga-tiga suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Saratok susulan laporan polis berhubung kehilangan tong gas berkenaan.
Menurutnya, kejadian disedari selepas pengadu menerima panggilan daripada sepupunya yang memaklumkan seorang daripada suspek dilihat mengambil tong gas dari bilik rumah panjang berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati tong gas jenama Petronas yang diletakkan di bawah meja dapur telah hilang. Saksi turut melihat seorang lelaki memikul tong gas tersebut di bahagian belakang rumah panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, saksi kemudian melihat seorang lagi lelaki menunggu di jalan belakang menggunakan motosikal Yamaha SM Sport berwarna merah sebelum kedua-duanya melarikan diri selepas menyedari kehadiran saksi.
Bagaimanapun, tong gas itu ditinggalkan di dalam semak di tepi Jalan Kemidan sebelum polis menjalankan siasatan lanjut dan berjaya mengesan serta menahan suspek pertama dan kedua di bahagian ruai rumah panjang di Awik.
Suspek ketiga turut ditahan di rumah panjang sama dalam operasi yang diketuai Inspektor Henry Muji, manakala polis merampas sebuah motosikal Yamaha SM Sport, sebuah tong gas jenama Petronas dan satu unit guni berwarna putih.
“Saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif amphetamine dan methamphetamine. Suspek pertama mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah, manakala suspek ketiga mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.
Siasatan mendapati suspek pertama mengaku memasuki bilik melalui pintu belakang yang dibuka oleh suspek kedua sebelum mengambil tong gas berkenaan.
Ketiga-tiga suspek dipercayai mempunyai pertalian keluarga, dengan suspek kedua merupakan adik kandung kepada pengadu.
Menurut polis, siasatan awal mendapati tong gas itu dicuri dengan niat untuk dijual dan wang hasil jualan dipercayai digunakan bagi mendapatkan bekalan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Oleh Adi Safarman





