Jerebu dijangka berterusan tiga hingga lima hari, hujan sedikit tidak membantu – MetMalaysia

Facebook
WhatsApp
JEREBU BERTERUSAN... Keadaan jerebu masih menyelubungi beberapa kawasan di negara ini susulan cuaca kering dan kurang hujan ketika Monsun Barat Daya. Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR: Situasi jerebu yang melanda negara ketika ini dijangka tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara bagi tempoh tiga hingga lima hari, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Pengarah Kanan Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional (POCGN) MetMalaysia Maqrun Fadzli Mohd Fahmi berkata meskipun hujan diramal berlaku di beberapa tempat, ia belum mampu untuk memulihkan kualiti udara secara besar-besaran.

“Daripada maklumat yang kami ada setakat ini, kita tidak melihat ada satu perubahan besar daripada situasi ini. Kita jangka keadaan ini akan hampir sama juga dan dalam beberapa hari akan datang, akan ada sedikit hujan berbanding keadaan kering sekarang.

“Kita harap hujan membantu, tetapi kalau keadaan udara banyak berjerebu, hujan yang sedikit mungkin tidak mampu menghilangkan kesan jerebu tersebut,” katanya ketika temu bual dalam program Bernama TV ‘Fokus 15: Ancaman Jerebu Rentas Sempadan.’

Maqrun Fadzli berkata keadaan berjerebu ketika ini lebih buruk di bahagian barat dan selatan Sarawak hingga mengakibatkan penutupan lebih 100 sekolah di Serian semalam, selain turut menjejaskan kawasan di Semenanjung termasuk Lembah Klang.

Maqrun Fadzli berkata faktor utama menyumbang kepada keadaan itu ialah Monsun Barat Daya lazimnya berlaku dari Mei hingga September, yang menyebabkan keadaan lebih kering serta kurang hujan.

“Apabila kita tidak mendapat banyak hujan, cuaca akan menjadi lebih panas dan keadaan panas ini menyumbang kepada risiko berlakunya pembakaran. Daripada pembakaran tersebut terhasil asap dan apa yang kita panggil sebagai jerebu,” katanya.

Menurutnya, MetMalaysia sentiasa memantau titik panas menggunakan imej satelit bagi mengenal pasti kawasan kebakaran hutan sebelum menggabungkan data arah tiupan angin untuk mengunjurkan pergerakan asap serta zarah terampai.

Katanya, maklumat berkenaan digunakan bagi mengenal pasti kawasan berpotensi mengalami keadaan jerebu lebih buruk serta menyediakan jangkaan pergerakannya.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya mengelakkan pembakaran terbuka serta mengurangkan aktiviti di luar rumah bagi mengelakkan risiko kesihatan berikutan kualiti udara tidak memuaskan.

Setakat tengah hari ini, data portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) menunjukkan 10 kawasan merekodkan tahap tidak sihat melibatkan Samarahan, Serian, Kuching, Sri Aman, Sarikei, Mukah dan Sibu di Sarawak selain Johan Setia (Selangor), Cheras (Kuala Lumpur) dan Minden (Pulau Pinang).- Bernama