Pejabat Wilayah jadi penghubung Sarawak dengan dunia

Facebook
WhatsApp
: KUNJUNGAN HORMAT... Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerima kunjungan hormat Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri, Hendy Assan di Kompleks Satria Pertiwi, Kuching, hari ini. Foto UKAS

PETRA JAYA: Pejabat Wilayah Kementerian Luar Negeri di Sarawak kini memainkan peranan lebih luas sebagai penghubung antara kerajaan Sarawak dengan negara luar dalam usaha menyokong agenda pembangunan negeri.

Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri, Hendy Assan berkata, peranan pejabat itu bukan lagi terhad kepada urusan konsular, malah turut melibatkan usaha memperkukuh hubungan dengan kedutaan dan negara luar.

Menurutnya, hubungan berkenaan merangkumi negara-negara ASEAN, China dan Kesatuan Eropah, khususnya dalam meneroka peluang kerjasama yang mampu memberi manfaat kepada Sarawak.

“Pejabat wilayah ini pada mulanya memang menguruskan hal konsular untuk rakyat kita di Sarawak, namun pada masa yang sama, tugas kita kini telah berkembang.

“Ia merangkumi peranan sebagai penghubung antara kerajaan Sarawak dengan kedutaan dan negara luar, khususnya Kesatuan Eropah dan China,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.

PENGARAH… Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Negeri, Hendy Assan ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Kompleks Satria Pertiwi, Kuching, hari ini. Foto UKAS

Mengulas lanjut, Hendy berkata, hubungan dengan negara ASEAN juga penting memandangkan kedudukan Sarawak yang bersempadan dengan beberapa negara anggota rantau berkenaan.

Jelasnya, negara ASEAN turut melihat Sarawak sebagai contoh pembangunan yang boleh diterokai bersama, terutama dalam sektor tenaga hijau dan tenaga boleh diperbaharui.

Dalam pada itu, katanya, kunjungan hormat berkenaan turut membincangkan pembangunan Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), serta peranan Pejabat Wilayah Kementerian Luar Negeri dalam membantu memperluas hubungan antarabangsa negeri.

“Kita berbincang tentang pembangunan yang telah dilaksanakan di Sarawak, bagaimana kita membangunkan negeri dengan pesat menerusi rancangan PCDS 2030 dan bagaimana Kementerian Luar Negeri serta Pejabat Wilayah dapat membantu mengadakan hubungan dengan negara luar,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersedia untuk terus menyokong kerajaan Sarawak dalam memperkukuh hubungan antarabangsa, termasuk membantu meneroka peluang kerjasama dalam sektor yang mempunyai kepentingan bersama.