Penutupan jalan sempena Jalan Santai Harmoni 2026 di Kuching

Facebook
WhatsApp
LOKASI penutupan jalan sempena Pusat Maklumat Islam Cares@Peace: Jalan Santai Harmoni 2026.

KUCHING: Beberapa jalan di bandar raya ini akan ditutup secara berperingkat Sabtu ini dari 6.00 pagi hingga 10.00 pagi bagi melancarkan program Pusat Maklumat Islam Cares@Peace: Jalan Santai Harmoni 2026 di Tebingan Kuching.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata kira-kira 3,000 peserta dijangka menyertai program berkenaan.

Beliau berkata penutupan jalan akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan pergerakan trafik berjalan lancar sepanjang program berlangsung.

Antara jalan yang terlibat ialah Jalan Haji Taha menghala ke Jalan Market; Jalan Tun Abang Haji Openg di lampu isyarat RTM menghala ke Padang Merdeka; Jalan Barrack menghala ke Jalan Khoo Hun Yeang (Balai Polis Sentral); lampu isyarat St Mary menghala ke Jalan McDougall; Jalan Temple di hadapan Kuil Tua Pek Kong; Jalan Old Court House; serta Jalan Main Bazaar menghala ke Jalan Lebuh Wayang.

“Orang awam dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas akibat penutupan jalan,” katanya.

Beliau menasihatkan kenderaan dari Jalan Tabuan melalui Jalan Simpang Tiga supaya menggunakan Jalan Central Timur atau Jalan Ban Hock bagi mengelakkan kesesakan di sekitar lampu isyarat Jalan McDougall.

Kenderaan dari arah Jalan Haji Taha pula dinasihatkan membuat pusingan U di Bulatan Masjid Bahagian, manakala kenderaan dari arah Jalan Padungan boleh menggunakan Jalan Abell atau Jalan Borneo bagi mengelakkan kesesakan di Jalan Temple.

Alexson turut menasihatkan orang awam dan peserta supaya meletakkan kenderaan di lokasi yang disediakan seperti Medan Pelita, Plaza Aurora, Plaza Merdeka, Hikmah Exchange, Kompleks Islam Sarawak dan tempat letak kenderaan di Muzium Budaya Borneo.

“Polis memohon kerjasama orang ramai supaya tidak meletakkan kenderaan di sepanjang bahu jalan serta merancang perjalanan lebih awal dengan memilih laluan alternatif,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuching di talian 082-259900.

Oleh Connie Chieng