Dua acara DBKU hujung minggu ini ditangguhkan

Facebook
WhatsApp
DITANGGUHKAN... Pagi Bebas Kenderaan Kuching 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini ditangguhkan susulan keadaan jerebu di Kuching. Foto DBKU

PETRA JAYA: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menangguhkan dua acara yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini susulan keadaan jerebu yang masih melanda Kuching.

Menurut kenyataan DBKU, Program Persembahan Muzikal di Perkarangan Muzium yang dijadualkan berlangsung di Tugu Pahlawan pada Sabtu ini serta Pagi Bebas Kenderaan Kuching 2026 di Padang Merdeka pada Ahad ini ditangguhkan.

Keputusan itu dibuat susulan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuching yang berada pada kategori tidak sihat.

PROGRAM Persembahan Muzikal di Perkarangan Muzium yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini turut ditangguhkan berikutan keadaan jerebu. Foto DBKU

Penangguhan kedua-dua acara itu merupakan langkah berjaga-jaga bagi mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan warga kota, memandangkan program berkenaan melibatkan aktiviti luar serta penyertaan orang ramai di kawasan terbuka.

Sehubungan itu, DBKU menggesa orang ramai supaya menjaga kesihatan diri dan keluarga serta mengehadkan aktiviti luar yang tidak perlu.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti perkembangan semasa serta mematuhi nasihat, panduan juga arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dan agensi berkaitan.

DBKU turut memohon maaf atas segala kesulitan berikutan penangguhan itu serta menghargai kerjasama dan pemahaman semua pihak.