DEBAK: Kehadiran seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira 1.2 meter dalam sebuah reban ayam di Kampung Babu mencetuskan kebimbangan penduduk sebelum berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Debak, pagi tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Debak, Leftenan Muda Mohd Hanif Abdul Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 7.03 pagi berhubung penemuan reptilia berkenaan.
Menurutnya, empat anggota APM kemudiannya digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira satu kilometer dari Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Debak dan tiba hanya dua minit selepas menerima panggilan.
“Pengadu memaklumkan ternampak seekor ular sawa batik berada di dalam reban ayam miliknya.
“Bimbang akan keselamatan ahli keluarga, pengadu mengambil tindakan menghubungi APM Debak untuk mendapatkan bantuan menangkap ular tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, setibanya di lokasi, anggota APM menjalankan pemeriksaan dan mencari keberadaan ular berkenaan sebelum berjaya mengesannya.
“Hasil pemeriksaan, seekor ular sawa batik sepanjang kira-kira empat kaki berjaya ditangkap menggunakan teknik menjerut.
“Operasi selesai pada 7.09 pagi,” katanya.
Operasi itu melibatkan empat anggota APM bersama kelengkapan termasuk dua penjerut, penyepit, kotak ular, sarung tangan dan topi keselamatan.
Kes berkenaan menjadi peringatan kepada orang ramai supaya tidak cuba menangkap ular secara bersendirian sekiranya menemui reptilia berbahaya, sebaliknya segera menghubungi pihak berkuasa atau pasukan penyelamat bagi memastikan keselamatan terjamin.
Oleh Adi Safarman




