SIBU: Masyarakat perlu memainkan peranan sebagai mata dan telinga kepada agensi keselamatan dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang ancaman atau isu keselamatan melalui saluran yang betul.
Pengarah Keselamatan Negeri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sarawak, Mohammad Haffizie Putit berkata, kerjasama erat antara komuniti dan agensi penguatkuasaan amat penting bagi memastikan isu keselamatan dapat dikenal pasti, disampaikan dan ditangani dengan lebih berkesan.
Menurutnya, komuniti merupakan pihak yang paling dekat dengan persekitaran serta keadaan di kawasan masing-masing dan mempunyai peranan penting dalam membantu usaha mencegah jenayah.
“Dalam konteks keselamatan negara, kita sering melihat agensi penguatkuasaan sebagai benteng utama dalam memastikan keamanan dan ketenteraman awam.
“Namun begitu, kita tidak boleh mengetepikan peranan masyarakat, khususnya komuniti yang merupakan antara barisan hadapan dalam usaha mencegah jenayah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutupan Program Bicara Komuniti Keselamatan ‘Kesedaran Diperkasa, Keselamatan Terpelihara’ anjuran MKN Negeri Sarawak di Dewan Lakis, hari ini.
Katanya, program berkenaan dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran dan kefahaman peserta mengenai isu keselamatan semasa, termasuk peranan agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menjaga keselamatan negara.
“Program ini juga memberi penekanan terhadap peranan komuniti sebagai rakan strategik agensi dalam usaha memelihara keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
Menurutnya, pendekatan keselamatan berpaksikan insan memberi penekanan kepada keselamatan individu dan komuniti yang seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan sosial serta ekonomi setempat.
Beliau berkata, antara cabaran keselamatan masa kini termasuk penipuan dalam talian, penyalahgunaan media sosial, penyeludupan, isu barang kawalan serta jenayah dan ketenteraman awam.
Sehubungan itu, katanya, taklimat berkaitan keselamatan yang disampaikan oleh pelbagai agensi dalam program berkenaan penting bagi memberi kefahaman kepada komuniti mengenai ancaman semasa serta tindakan yang boleh diambil.
“Saya berharap komuniti bukan sahaja mengambil maklum tetapi turut menjadi mata dan telinga kepada agensi keselamatan dengan menyalurkan maklumat yang tepat melalui saluran yang betul.
“Marilah kita bersama membentuk komuniti yang lebih peka, berwaspada dan bertanggungjawab kerana keselamatan yang kukuh bermula daripada masyarakat yang mempunyai kesedaran dan pengetahuan,” katanya.
Program berkenaan turut melibatkan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) Bahagian Sibu, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Bahagian Sibu dan Skuad Antidadah Sibu.
Turut terlibat dalam penyampaian taklimat serta pameran ialah Jabatan Imigresen Sibu, Penjara Pusat Sibu, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sibu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sibu serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Sibu.
Oleh Akun Giman





