SIMANGGANG: Pelaksanaan empat projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang terus dipantau bagi memastikan setiap projek dapat disiapkan mengikut skop dan tempoh yang ditetapkan.
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata, lawatan tapak projek berkenaan diadakan bagi meninjau sendiri perkembangan kerja serta mendapatkan gambaran sebenar mengenai kemajuan setiap projek.
Lawatan itu diketuai Pegawai Tadbir Khas kepada beliau, Philip Foster Hollis, dengan turut disertai wakil agensi pelaksana daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sri Aman serta wakil kontraktor bagi setiap projek.
Antara projek yang dilawati ialah pembinaan bangunan baharu rumah pengurusan jenazah Gereja Saint Luke, naik taraf gelanggang terbuka berbumbung Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang, naik taraf padang bola sepak SMK Saint Luke serta pembinaan gelanggang terbuka baharu SMK Sri Aman.
Menurut beliau, RTP merupakan antara kaedah penyaluran projek menerusi wakil rakyat kawasan yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), dengan cadangan projek lazimnya dikemukakan kepada wakil rakyat untuk dipertimbangkan berdasarkan keperluan setempat dan peruntukan yang tersedia.
Katanya, selepas sesuatu projek dipertimbangkan dan diluluskan, agensi pelaksana akan menyediakan kertas kerja terperinci sebelum permohonan dikemukakan kepada Bahagian Pembangunan Pejabat Residen Bahagian untuk proses pemilihan kontraktor.
“Bagi kawasan DUN Simanggang, kaedah pemilihan kontraktor yang diamalkan ialah secara cabut undi bagi memastikan proses dilaksanakan secara adil dan telus serta tidak memberi ruang kepada sebarang manipulasi,” katanya.
Hasil lawatan mendapati gelanggang terbuka berbumbung SMK Simanggang telah siap sepenuhnya, manakala pembinaan bangunan baharu rumah pengurusan jenazah Gereja Saint Luke mencapai 90 peratus, namun mengalami kelewatan daripada jadual asal.
Naik taraf padang bola sepak SMK Saint Luke pula mencapai 85 peratus, manakala pembinaan gelanggang terbuka baharu SMK Sri Aman mencapai 95 peratus. Kedua-duanya turut mengalami kelewatan daripada jadual yang ditetapkan.
Dalam pada itu, Philip mengingatkan agensi pelaksana supaya meningkatkan pemantauan secara berkala terhadap kemajuan projek, selain menyeru kontraktor supaya memberikan komitmen penuh dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Beliau menegaskan, pemantauan berterusan penting bagi memastikan sebarang isu yang boleh menjejaskan kelancaran projek dapat dikenal pasti dan ditangani lebih awal.
“Kontraktor perlu memberikan komitmen untuk menyiapkan projek dalam tempoh yang telah ditetapkan, manakala agensi pelaksana perlu memastikan pemantauan dilakukan secara berkala,” katanya.
Oleh Adi Safarman





