KUCHING: Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia dan Pusat Perubatan Sarawak menjalin kerjasama bagi meneroka peluang dalam bidang perubatan regeneratif dan inovasi penjagaan kesihatan di Sarawak.
Menurut kenyataan Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia, kerjasama itu dimeterai menerusi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini, sekali gus membuka ruang untuk meneroka aplikasi perubatan regeneratif, diagnostik jitu, peranti perubatan dan perubatan komplementari.
“Ia turut merangkumi usaha memperkenalkan penyelesaian penjagaan kesihatan berasaskan bio yang dibangunkan dalam negara bagi meningkatkan penjagaan pesakit serta memperkukuh ekosistem inovasi penjagaan kesihatan Sarawak.
“Pusat Perubatan Sarawak yang memiliki dan mengendalikan Pusat Perubatan Pakar Normah merupakan anak syarikat milik penuh Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Diperbadankan, sekali gus menjadikannya entiti penjagaan kesihatan milik kerajaan Sarawak.
“Menerusi kerjasama itu, Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia akan mengenal pasti serta menghubungkan Pusat Perubatan Pakar Normah dengan teknologi dan penyelesaian penjagaan kesihatan tempatan yang bersesuaian daripada syarikat dalam portfolionya serta ekosistem bioteknologi yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Pusat Perubatan Pakar Normah pula akan memberikan pandangan klinikal bagi menilai kesesuaian inovasi berkenaan, termasuk menyediakan akses kepada kepakaran klinikal dan kemudahan berkaitan apabila diperlukan.
“Kerjasama itu dilaksanakan ketika Malaysia berdepan peningkatan populasi menua, dengan Sarawak mencatatkan 9.7 peratus penduduk berusia 65 tahun ke atas, iaitu peratusan kedua tertinggi dalam kalangan 12 negeri yang dikategorikan sebagai negeri menua.
“Pada masa sama, sektor pelancongan kesihatan Sarawak terus berkembang apabila negeri itu menerima lebih 104,000 pelancong kesihatan pada 2025 dengan hasil sebanyak RM203 juta, meningkat 27 peratus berbanding 2024,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata, perkembangan itu membuka peluang kepada Sarawak untuk terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi penjagaan kesihatan serantau.
“Ketika populasi Sarawak semakin menua dan sektor pelancongan kesihatan terus berkembang, terdapat peluang yang jelas untuk membawa inovasi yang bersesuaian lebih dekat kepada pesakit.
“Cabaran bukan sekadar membangunkan teknologi penjagaan kesihatan baharu, sebaliknya memastikan inovasi itu dapat diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang boleh dimanfaatkan secara berkesan dalam persekitaran klinikal.
“MoU ini menyediakan platform untuk kami menghubungkan ekosistem bioteknologi Malaysia dengan penyedia penjagaan kesihatan serta meneroka bagaimana inovasi dalam perubatan regeneratif dan diagnostik jitu dapat menyokong aspirasi Sarawak untuk muncul sebagai destinasi penjagaan kesihatan terkemuka di rantau ini,” ujarnya.
Susulan pertukaran MoU itu, Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia akan bekerjasama dengan syarikat berstatus BioNexus dan syarikat di bawah Program Pemecut Berasaskan Bio bagi mengenal pasti teknologi serta penyelesaian penjagaan kesihatan yang bersesuaian dan berpotensi dibangunkan bersama Pusat Perubatan Pakar Normah.
Kerjasama itu turut membuka peluang kepada profesional penjagaan kesihatan Pusat Perubatan Pakar Normah meneroka teknologi terkini dan menilai potensi aplikasi klinikalnya, manakala pesakit berpeluang mendapat manfaat daripada inovasi yang dapat meningkatkan kualiti serta penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan.
Kerjasama berkenaan selaras dengan objektif Dasar Bioteknologi Negara 2.0 di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, khususnya dalam mempercepat pengkomersialan bioteknologi, memperkukuh kerjasama antara industri dan sektor penjagaan kesihatan serta menterjemahkan inovasi bioteknologi Malaysia kepada aplikasi penjagaan kesihatan dalam dunia sebenar.





