KUCHING: AirBorneo Airways Sdn Bhd (AirBorneo) hari ini membawa lebih 450 anggota kontinjen Sarawak ke Sukan Malaysia (Sukma) XXII Selangor 2026 yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AirBorneo, Megat Ardian Aminuddin berkata, pihaknya bekerjasama rapat dengan Majlis Sukan Negeri Sarawak dan sekretariat kontinjen sejak beberapa minggu lalu bagi menyusun tempahan penerbangan berdasarkan jadual pertandingan.
“Kami bekerjasama rapat dengan Majlis Sukan Negeri Sarawak dan sekretariat kontinjen sejak beberapa minggu lalu bagi menyusun tempahan berdasarkan jadual pertandingan.

“Persiapan turut dibuat bagi pengangkutan peralatan pasukan termasuk peralatan sukan yang memerlukan pengendalian khas.
“Perkhidmatan Kuching-Kuala Lumpur kami diwujudkan bagi memberikan akses terus dan boleh dipercayai kepada rakyat Sarawak ke ibu negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pengangkutan kontinjen dalam jumlah besar, melibatkan pelbagai jenis sukan dan tarikh perjalanan, merupakan antara perkhidmatan yang disediakan AirBorneo.
“Menjadi satu penghormatan bagi AirBorneo untuk membawa atlet Sarawak yang menggalas nama negeri ke pentas kebangsaan,” tambahnya.
Untuk rekod, kira-kira 60 anggota kontinjen Sarawak berlepas ke Kuala Lumpur menggunakan penerbangan AirBorneo MY5005 hari ini, terdiri daripada atlet dan pegawai pasukan kabaddi lelaki dan wanita, judo serta gimnastik berirama.

Pergerakan kumpulan itu turut disertai pegawai Majlis Sukan Negeri Sarawak dan anggota media sukan Sarawak, sekali gus menjadi pergerakan kontinjen terbesar pertama sepanjang tempoh Sukma XXII.
Majlis Pelepasan Kontinjen berkenaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching disempurnakan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
AirBorneo akan menerbangkan sebahagian besar kontinjen Sarawak sepanjang tempoh temasya berkenaan dengan pergerakan melibatkan lebih 450 anggota.
Jumlah itu merangkumi lebih 450 atlet, jurulatih, pengurus pasukan, pegawai pengiring, anggota sekretariat dan pengamal media sukan Sarawak.
Pergerakan kontinjen berkenaan melibatkan kira-kira 24 jenis sukan iaitu akuatik termasuk renang, terjun dan polo air, memanah, badminton, bola keranjang, tinju, catur, e-sukan, lawan pedang, futsal, gimnastik, judo dan kabaddi.
Turut membabitkan lawn bowls, muay thai, pencak silat, sepak takraw, silambam, skuasy, ping pong, angkat berat dan wushu.
Oleh Masrin Affirah





