Tiga daripada lima individu kes pergaduhan tular mempunyai rekod lampau

Facebook
WhatsApp
GADUH… Ketua Polis Daerah Meradong, DSP Tansli Mering ketika ditemui media berhubung perkembangan kes pergaduhan yang tular di media sosial. Foto IPD Meradong

BINTANGOR: Tiga daripada lima individu yang ditahan berhubung insiden pergaduhan yang tular di media sosial mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah dan jenayah.

Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, semakan rekod mendapati seorang lelaki berusia 24 tahun mempunyai empat rekod kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, lelaki tersebut turut mempunyai satu rekod kes di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

“Seorang lagi lelaki berusia 30 tahun mempunyai dua rekod kesalahan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta satu rekod di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Manakala seorang wanita berusia 27 tahun turut mempunyai dua rekod kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.

Beliau berkata, seorang lelaki berusia 25 tahun dan seorang wanita berusia 31 tahun pula tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

“Untuk makluman, berdasarkan saringan air kencing pagi tadi, kesemua tangkapan didapati negatif,” katanya.

Perkembangan itu susulan penahanan lima individu, terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita, berhubung insiden pergaduhan yang tular menerusi media sosial.

Terdahulu, polis memaklumkan kesemua individu terbabit saling mengenali dan dipercayai berada dalam keadaan mabuk ketika kejadian.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti fakta sebenar kejadian.

Oleh Earl Anek