Sejahtera MADANI bantu sembilan penerima tingkat pendapatan

Facebook
WhatsApp
SEMBILAN penerima masing-masing menerima bantuan RM5,000 menerusi program Penyerahan Sejahtera MADANI Fokus Peningkatan Pendapatan (Peralatan) yang berlangsung di Dewan Suarah Bintulu, hari ini.

BINTULU: Seramai sembilan penerima dari Bintulu dan Tatau menerima bantuan menerusi program Penyerahan Sejahtera MADANI Fokus Peningkatan Pendapatan (Peralatan) dengan jumlah keseluruhan RM45,000 bagi membantu para penerima mengembangkan aktiviti ekonomi masing-masing.

Menurut Penolong Pengarah Kanan ICU JPM, Mohammad Dzulkiflie Pathi, usaha membasmi kemiskinan bukan hanya menjadi tanggungjawab kerajaan, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk agensi pelaksana dan penerima bantuan.

Menurutnya, bantuan yang disalurkan bukan sekadar untuk memenuhi keperluan semasa, tetapi bertujuan membina keupayaan penerima supaya mampu berdikari dan meningkatkan taraf kehidupan dalam jangka panjang.

“Kerajaan menyediakan dasar dan bantuan, agensi melaksanakan program, manakala rakyat sebagai penerima perlu memanfaatkan peluang dengan penuh kesungguhan untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik,” katanya ketika berucap pada program tersebut di Dewan Suarah di sini, hari ini.

RAKAM kenangan bersama pada Program Penyerahan Sejahtera MADANI Fokus Peningkatan Pendapatan (Peralatan) di Dewan Suarah Bintulu, hari ini.

Beliau berkata, program berkenaan turut menjadi pemangkin kepada Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) untuk meningkatkan pendapatan keluarga menerusi aktiviti ekonomi yang dijalankan.

Katanya, kemiskinan bukan sesuatu yang diwarisi atau tidak boleh diubah, sebaliknya kitaran kemiskinan boleh dihentikan menerusi pendidikan, usaha, kerja keras serta sokongan melalui program bantuan kerajaan yang bersesuaian.

Sehubungan itu, penerima diingatkan supaya menjaga serta memanfaatkan peralatan yang diterima dengan sebaiknya bagi memastikan bantuan tersebut dapat digunakan secara optimum dan memberi impak kepada peningkatan pendapatan.

Daripada keseluruhan penerima, dua penerima dari Tatau menerima bantuan bagi skop perniagaan, manakala tujuh penerima dari Bintulu melibatkan tiga penerima dalam bidang jahitan, dua perikanan dan dua pertanian.

Setiap penerima menerima bantuan peralatan bernilai RM5,000 yang diharap dapat membantu meningkatkan keupayaan mereka menjana pendapatan, selain memperkukuh ekonomi keluarga.

Sementara itu, Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (Miri) akan menjalankan pemantauan terhadap perkembangan pendapatan setiap penerima secara bulanan dalam tempoh setahun bagi menilai keberkesanan bantuan yang disalurkan.

Program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa golongan yang memerlukan, khususnya mereka yang berdepan cabaran ekonomi, di samping menyokong usaha ke arah mensifarkan miskin tegar.

Inisiatif tersebut diharap dapat membantu penerima membina sumber pendapatan yang lebih kukuh dan berterusan, sekali gus meningkatkan taraf kehidupan serta kesejahteraan keluarga selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. Program anjuran Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak (Zon Miri) menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Sarawak.

Oleh Faizah Muzidi