Operasi pemadaman kebakaran hutan Jalan Kejatau masuk hari ketiga

Facebook
WhatsApp
OPERASI PEMADAMAN… Operasi pemadaman kebakaran hutan di Jalan Kejatau-Lingga diteruskan memasuki hari ketiga hari ini. Foto PGO Bomba Sarawak

SIMANGGANG: Operasi pemadaman kebakaran hutan di Jalan Kejatau-Lingga diteruskan memasuki hari ketiga hari ini, manakala pasukan bomba berdepan cabaran tanah gambut, angin kencang serta kekurangan sumber air terbuka.

Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kebakaran yang dilaporkan pada Isnin lalu itu dianggarkan melibatkan kawasan seluas 80 hektar.

Setakat operasi hari ketiga, kira-kira 20 hektar kawasan berjaya dipadamkan, manakala baki sekitar 60 hektar masih memerlukan tindakan pemadaman.

Pasukan bomba bertolak ke lokasi pada 8.30 pagi dan setibanya di kawasan kebakaran mendapati api melibatkan kawasan tanah gambut.

OPERASI PEMADAMAN… Operasi pemadaman kebakaran hutan di Jalan Kejatau-Lingga diteruskan memasuki hari ketiga hari ini. Foto PGO Bomba Sarawak

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan kaedah pemadaman secara menyeluruh bagi mengawal dan memadam kebakaran, terutama di kawasan yang berpotensi menyimpan bara api di dalam tanah gambut.

Timbalan Pengarah Bomba Negeri Sarawak, PPjB Tiong Ling Hii bersama PgKB II Nik Muhd Afiq turut tiba di lokasi pada 10.30 pagi bagi meninjau perkembangan operasi.

Bagaimanapun, operasi berdepan beberapa kekangan, termasuk ketiadaan liputan komunikasi, tiupan angin kencang yang menyebabkan api mudah merebak, sumber air terbuka seperti parit yang terhad serta keadaan jalan masuk yang sempit.

Seramai 12 anggota terlibat dalam operasi itu dengan aset terdiri daripada sebuah jentera FRT, dua kenderaan Hilux, sebuah lori tangki air dan sebuah Toyota Fortuner.

Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi bagi membantu operasi.

Operasi pemadaman masih diteruskan dan belum ditamatkan. Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.

Oleh Adi Safarman