Gerhana matahari penuh memukau di Eropah

Facebook
WhatsApp

GAMBAR fail menunjukkan Bulan melintasi Matahari sepenuhnya ketika gerhana matahari penuh pada 8 April 2024 di Brady, Texas. Gerhana matahari penuh berlaku pada 12 Ogos, di Eropah. Foto AFP

BURGOS, Sepanyol: Jutaan penduduk Eropah dijangka menatap langit dengan penuh kagum apabila fenomena gerhana matahari penuh yang jarang berlaku merentasi sebahagian benua itu dan menyelubungi kawasan luas di Sepanyol dalam kegelapan luar biasa pada waktu siang.

Bayang-bayang yang terhasil apabila Bulan menutupi Matahari akan bermula di kawasan terpencil di utara Artik Rusia sekitar 1700 GMT sebelum bergerak dalam lengkungan merentasi Greenland dan Iceland.

Di Sepanyol, lokasi terbaik untuk menyaksikan gerhana penuh itu, bayang-bayang berkenaan akan merentasi negara tersebut secara menyerong dari pantai Atlantik di utara hingga ke Laut Mediterranean sebelum menghilang sekitar 1830 GMT.

Lebih ramai pemerhati pula akan dapat menyaksikan gerhana separa yang boleh dilihat di kebanyakan kawasan Eropah, Kanada, utara Amerika Syarikat dan barat laut Afrika.

Fenomena itu merupakan gerhana matahari penuh pertama di tanah besar Eropah sejak 2006.

PENYELIDIK dari muzium Exploratorium di San Francisco membuat persiapan bagi siaran langsung global gerhana matahari penuh yang akan berlaku pada 12 Ogos, di perkampungan terbiar Villalibado, berhampiran Burgos, utara Sepanyol, pada 10 Ogos 2026. Foto AFP

Sepanjang sejarah manusia, gerhana telah mencetuskan rasa kagum, takut dan penghormatan kerana fenomena itu seolah-olah menghentikan seketika perjalanan alam semula jadi.

Bayang-bayang yang terbentuk hasil jajaran Matahari dan Bulan menghasilkan suasana senja yang luar biasa apabila suhu menurun, bayang-bayang kelihatan pada sudut yang ganjil dan sesetengah haiwan mula tidur.

Bagaimanapun, fenomena itu hanya berlaku dalam tempoh singkat. Bagi pemerhati di Sepanyol, gerhana penuh akan berlangsung kurang daripada dua minit sebelum matahari terbenam.

Gerhana itu akan berlangsung sedikit lebih lama di beberapa kawasan di Rusia dan Greenland, namun masih kurang daripada dua minit setengah.

Gerhana separa, yang berlaku ketika Bulan mula dan selesai melintasi laluan Matahari, akan berlangsung kira-kira satu jam 45 minit.

Fenomena itu juga memberi peluang yang jarang kepada saintis untuk mengkaji atmosfera Matahari dan lapisan paling luarnya dalam usaha membongkar rahsia mengenai angin suria serta medan magnet bintang tersebut.

SEORANG wanita memakai cermin mata khas untuk melihat gerhana di Almelo, timur Belanda, pada 11 Ogos 2026, sehari sebelum berlakunya gerhana matahari separa. Foto AFP

Demam Gerhana

Peminat dan pemburu gerhana akan berpusu-pusu mendapatkan lokasi terbaik yang menawarkan pandangan tanpa halangan ke arah Matahari yang sedang terbenam, sambil berharap awan, debu atau asap tidak menghalang pemandangan.

Hujan dan awan diramalkan menjejaskan peluang menyaksikan fenomena itu di wilayah Westfjords di barat laut Iceland, manakala Reykjavik, ibu negara Iceland, bakal mengalami gerhana matahari penuh pertama sejak 1433.

Lebih ke selatan, agensi meteorologi Sepanyol yang berpangkalan di Madrid, AEMET, meramalkan cuaca cerah di kebanyakan kawasan Sepanyol, kecuali beberapa kawasan di bahagian utara dan timur negara itu.

Demam gerhana kini melanda negara berkenaan dengan cermin mata khas yang diperakui selamat untuk melihat Matahari sukar diperoleh di sesetengah tempat.

Sepanyol juga mengharapkan pelancongan berkaitan fenomena gerhana itu dapat merancakkan ekonomi, khususnya di kawasan luar bandar di utara yang mengalami kemerosotan penduduk sejak beberapa dekad lalu.

CERMIN mata khas untuk melihat gerhana matahari dipamerkan untuk dijual di sebuah premis dalam Pasar Old Spitalfields di timur London pada 11 Ogos 2026, menjelang gerhana matahari penuh yang dijangka berlaku di beberapa kawasan Eropah pada hari berikutnya. Foto AFP

Sumbangan bersih kepada ekonomi dianggarkan mencecah 347 juta euro (AS$400 juta), dengan lebih 446,000 pelancong tambahan dijangka mengunjungi kawasan utama yang terjejas oleh laluan gerhana itu, menurut Kementerian Ekonomi.

Kampung-kampung sunyi yang lazimnya tidak pernah menjadi tumpuan dalam jadual pelancongan kini tiba-tiba dibanjiri pemburu gerhana dari seluruh dunia.

Di Benavente, sebuah bandar kecil di barat laut Sepanyol yang dijangka menawarkan pemandangan terbaik gerhana penuh, semua pilihan penginapan telah habis ditempah.

“Kami menerima 50 panggilan sehari untuk bertanyakan tempat penginapan, lokasi terbaik untuk menyaksikannya dan tempat meletakkan kenderaan,” kata kakitangan pejabat pelancongan Benavente, Laura del Teso, kepada AFP.

Menurutnya, Benavente “tidak pernah” menerima begitu ramai pelancong asing, termasuk dari Belgium, Britain, Australia, New Zealand, Belanda dan Jerman.

Bahaya Menanti

Kehadiran pengunjung secara besar-besaran itu turut menimbulkan kebimbangan pihak berkuasa yang menggesa orang ramai supaya berhati-hati kerana bimbang fenomena langit tersebut boleh mencetuskan pelbagai masalah di darat.

Suhu dijangka melebihi 35 darjah Celsius pada Rabu di kebanyakan kawasan tanah besar Sepanyol dan boleh meningkat melebihi 40 darjah Celsius di beberapa kawasan di timur laut negara itu, sekali gus menimbulkan risiko kesihatan kepada mereka yang berada di luar selama beberapa jam.

AEMET turut meramalkan risiko kebakaran hutan berada pada tahap “sangat tinggi” atau “melampau” di sebahagian besar negara itu. Risiko berkenaan boleh bertambah akibat kehadiran ribuan orang di kawasan luar bandar yang kering kontang, selain kesesakan kenderaan di jalan-jalan kecil.

Pegawai menjangkakan sebanyak 1.5 juta perjalanan tambahan di jalan raya menuju ke kawasan yang mengalami gerhana penuh.

Pihak berkuasa tempatan telah menyediakan lokasi khas untuk menyaksikan fenomena itu serta memperkukuh sumber keselamatan, kecemasan dan pengangkutan bagi menguruskan keadaan yang dijangka sesak ketika gerhana matahari penuh pertama di tanah besar Sepanyol dalam tempoh lebih satu abad.

Satu lagi gerhana matahari penuh akan merentasi selatan Sepanyol dan utara Afrika pada Ogos 2027, manakala gerhana anulus apabila Bulan tidak cukup besar untuk menutupi Matahari sepenuhnya sehingga menghasilkan fenomena yang dikenali sebagai “cincin api” dijangka berlaku di Semenanjung Iberia pada 2028. – AFP

15 maut bot karam di Zimbabwe

MOSCOW: Sekurang-kurangnya 15 maut selepas sebuah bot yang membawa lebih 160 penumpang karam di Tasik Kariba, Zimbabwe pada Selasa, menurut