PALOH: Sebuah pondok tempat pekerja berehat di atas kapal tongkang terbakar sekitar 60 peratus di tapak pembinaan Jambatan Batang Paloh, Daro, petang tadi, namun tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, Pemangku Ketua Balai Polis (KPB) Balai Polis Bintangor menerima maklumat mengenai kejadian sekitar 4.00 petang.
Katanya, Pemangku KPB Bintangor bersama anggota polis kemudian bergegas ke lokasi kira-kira lima minit selepas menerima maklumat tersebut.
Setibanya pihak polis di lokasi, pemeriksaan mendapati kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh pekerja yang berada di tempat kejadian menggunakan alat pemadam api.

“Pemeriksaan awal mendapati kira-kira 60 peratus bahagian belakang pondok tempat pekerja berehat telah terbakar.
“Punca kejadian kebakaran masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa.
“Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan. Keadaan di lokasi adalah terkawal,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran yang berlaku di atas tongkang berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam keadaan cuaca panas dan mengelakkan sebarang tindakan yang berpotensi mencetuskan kebakaran.
“Sehubungan dengan itu, PDRM IPD Meradong menasihati orang awam agar tidak membuang puntung rokok secara merata-rata serta mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang boleh mengundang risiko kebakaran,” katanya.
Tansli turut menasihatkan masyarakat supaya mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya kualiti udara berada pada tahap tidak sihat, selain menjaga tahap hidrasi ketika cuaca panas.
“Orang awam juga dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti luar sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat serta memastikan pengambilan air yang mencukupi bagi mengelakkan dehidrasi dan strok haba, khususnya dalam cuaca panas,” katanya.
Oleh Earl Anek




