MIRI: Gara-gara mencuri dua tong gas memasak dari sebuah gerai makan di Pantai Tanjung Lobang, seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini.
Tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Kejadian berlaku sekitar 8.00 pagi pada 6 Ogos lalu apabila tertuduh memasuki premis berkenaan sebelum menggunakan sebatang besi untuk merosakkan mangga yang mengunci rantai besi pada dua tong gas tersebut.
Kedua-dua tong gas itu kemudian berjaya ditemui semula polis selepas dirampas daripada seorang peniaga yang dipercayai membelinya daripada tertuduh.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee berkata, orang ramai khususnya pemilik premis perniagaan dan kediaman dinasihatkan supaya meningkatkan tahap keselamatan bagi mengelak menjadi mangsa kecurian.
Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah supaya tampil menyalurkannya kepada IPD Miri atau balai polis berhampiran.
“Kerjasama masyarakat penting bagi membantu polis membendung kegiatan jenayah dan memastikan keselamatan komuniti sentiasa terjamin,” ujarnya.
Oleh Liong Chai Ling





